Friday, June 11, 2010

BETULKAH SOKONGAN MENINGKAT?

Betulkah sokongan terhadap kepemimpinan Najib selaku PM terus diterima dan semakin meningkat? Meningkat kepada 72% daripada 69% April lalu? Betulkah sokongan kaum India sebanyak 80 peratus, sokongan kaum Melayu menjadi 77 peratus dan dari kaum Cina 58 peratus? Boleh percaya pada laporan dan rumusan agensi kaji-selidik tersebut? Entah siapa yang menjadi responden mereka.

Beberapa persoalan perlu diteliti dalam isu tersebut. Dalam sembang-sembang di kedai kopi, kami tidak percaya pada semua peratusan yang diberi kerana sokongan yang dimaksudkan dilihat semakin menurun, bukan semakin naik. Akibat dari beberapa keputusan kerajaan akhir-akhir ini, dijangka sokongan Melayu dan Islam menurun dengan ketara, lebih-lebih lagi bila kerajaan bermain wayang dalam isu judi dan penarikan balik subsidi.

Nasib baik semua itu dibayangi kembali oleh isu Israel. Kutukan terbuka Najib terhadap serangan Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan Gaza sedikit menaikkan semula kredibiliti Najib. Isu besar ini menyelamatkan Najib.

Sokongan dari kaum lain tentulah semua orang sudah maklum. Hulu Selangor dan Sibu telah menceritakan segala-galanya. Peruntukan RM3 juta kepada sekolah Cina di Hulu Selangor tidak dapat menarik sokongan dari kaum tersebut. India memilih BN pun sebab calonnya dari kaum mereka.

Apa jadi dengan peruntukan RM18 juta kepada Sibu? Ternyata sia-sia dan Sibu terlepas kepada DAP. Kita sudah dapat menganalisa bagaimana sokongan kaum tersebut kepada kepemimpinan Najib daripada keputusan PRK tersebut.

Akhir-akhir ini pula MCA dan MIC dilanda masalah terus-menerus. Rakyat semakin benci dan meluat dengan krisis demi krisis dua parti tersebut manakala PPP masih juga dalam kemelut 'dua presiden'.

Jadi percayakah dengan kaji-selidik tersebut? Kenalah tahu siapa responden yang dijadikan asas kaji-selidik itu untuk menyatakan kebolehpercayaan kita. Mungkin peratusan yang diumumkan itu hanyalah gimik semata-mata untuk membuatkan Najib selesa 'di dalam buaian' . Dunia sekarang macam-macam boleh jadi.

No comments: