Friday, June 25, 2010

MENTADBIR NEGARA MACAM MAIN MASAK-MASAK

1. Haruslah diingat bahawa mentadbir negara samalah seperti mentadbir sebuah keluarga. Dan mentadbir negara bukanlah sama macam kanak-kanak bemain 'masak-masak'. Dalam permainan masak-masak, macam-macam perkara pelik dan tidak disangka-sangka boleh terjadi.

2. Main 'masak-masak' seperti zaman kanak-kanak dulu bolehlah semuanya pakai tangkap muat saja siapa yang patut jadi 'suami' dan siapa yang dibuat sebagai 'isteri'. Duit pun pakai ambil daun-daun sahaja. Makan hanya olok-olok dalam pinggan tempurung yang dikutip di bawah pokok kelapa.

3. Ini negara, bukan main masak-masak lagi. Tadbirlah dengan betul. Tadbirlah elok-elok dan bukan boleh dibuat main-main atau hendak cuba-cuba. Mana boleh ikut sedap saja. Bertindak tidak boleh ikut hati.

4. Sesuatu yang hendak dibuat hendaklah dirancang terlebih dahulu, hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri dan pegawai. Bila sudah siap dan bersedia dengan sebarang kemungkinan protes dan bantahan, barulah diumumkan dan didedahkan kepada umum.

5. Dengan cara itu barulah rakyat tidak resah dan gelisah. Barulah rakyat tidak terkejut dan melabel kerajaan dengan berbagai bentuk. Kerisauan dan kemelut rakyat dapat dibendung dan ditangani dengan baik. barulah rakyat buat kesimpulan bahawa orang yang dipilih mentadbir negara itu adalah pilihan yang tepat.

6. Ini tidak. Dengan tiba-tiba sahaja terus umumkan sesuatu yang baru yang hendak dilaksanakan. Bangun saja dari tidur, terus memikirkan apa yang hendak diumumkan hari ini. Bila terus diumumkan begitu, rakyat terkejut. Lepas satu, satu pula isu ditimbulkan membuat rakyat terperanjat dan mengeluarkan pendapat yang berbagai-bagai.

7. Baru saja mengumumkan cadangan mewajibkan pembelajaran bahasa ibunda di semua sekolah kebangsaan yang menimbulkan macam-macam reaksi rakyat, Menteri Pelajaran umumkan pula tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR. Lagi sekali rakyat dipaksa memberi reaksi dan pendapat. Apa jenis menteri seperti ini, selalu bercakap perkara yang baru jadi cadangan semata-mata untuk meletak rakyat dalam keresahan dan pertikaian sesama sendiri.

8. Ini bukanlah kali pertama Kementerian Pelajaran buat hal macam ini. Sebulan yang lalu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Fuad Zarkashi mengumumkan perlunya dilaksanakan 'Lesen Guru' bagi membolehkan guru bertugas dengan cemerlang. Hal ini dinafikan pula oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. Sama-sama satu kementerian pun buat kenyataan yang tidak serupa.

9. Sebelum ini isu sekolah satu aliran bukan main lagi beria-ia diumumkan Tan Sri muhyiddin. Akhirnya isu itu tinggal terawang-awang tak ketahuan apa sudah terjadi. Rakyat ditinggalkan terpinga-pinga begitu sahaja.

10. Jadi adalah lebih baik jika ada apa-apa perkara yang hendak dilaksanakan, perbincangkanlah dulu di peringkat kementerian atau pegawai sebelum diumumkan kepada orang ramai. barulah ia dilihat sebagai satu tindakan yang bijak.

11. Ingatlah, anda mentadbir sebuah negara, bukan sebuah keluarga atau sedang 'main masak-masak'.

No comments: