Thursday, May 27, 2010

CERITA KEDAI KOPI


Kami orang kampung selalu berhimpun di kedai kopi. Berhimpun cara orang kampung. Bercakap pun cara orang kampung. Cakap orang kampung mana ada orang mahu dengar. Ini pun belum tentu ada orang mahu baca. Tapi macam manapun, kita bicara jugalah sedikit cerita yang dikutip di kedai kopi ini.

Nampaknya BN sekarang ini bercelaru. Tak tentu hala. kalau BN ini manusia, tentu sudah pengsan atau kena sawan. Apa tidaknya. Ada-ada saja yang tidak kena dengan rakan komponennya. Rakan yang terbesar pula tu. Tak habis-habis berkrisis.

Tapi para pemimpin UMNO (kononnya inilah parti terbesar dalam BN) macam orang bodoh dan tidak dapat berfikir. Situasi semudah ABC ini pun tidak dapat dianalisa dengan baik dan rasional. Tidak terlintaskah bahawa semua ini memang sengaja dicetuskan agar BN dan juga UMNO menjadi lemah? Apabila BN lemah kerana tinggal UMNO dan komponen dari Sabah dan Serawak sahaja yang relevan kepada perjuangan, kerajaan akan musnah dan bertukar tangan. Pemimpin-pemimpin parti tersebut peduli apa. Macam mana kalahpun tetap boleh jadi menteri atau senator.

Belum selesai kemelut PPP antara M. Kaveas dengan Murugiah, MCA pula buat hal. Bercakar sesama sendiri dan akhirnya yang rugi BN juga. UMNO juga! Walaupun MCA berjaya melalui proses pembaikpulih melalui pemilihan semula pemimpin tertinggi, pemilihan 'pelakon video' (Dr Chua Soi Lek) dilihat penyakit dalaman parti itu tidak lega sepenuhnya. Penarikan Chew Mooi Fun dan langkah Ong Tee Kiat menyisihkan diri menjadi buktinya.

Baru BN hendak duduk selesa sikit, MIC pula dilanda krisis. Lagi teruk jika dibanding dengan krisis PPP dan MCA. Kali ini sampai ada suara dalaman parti kaum India itu menggesa parti mengkaji kedudukannya dalam BN. Sampai macam tu sekali.

Tak terfikirkah UMNO (Melayu)? Krisis-krisis ini seolah-olah sengaja diciptakan supaya rakyat melihat BN sebagi parti yng karut. Mereka sengaja mahu menjahanamkan BN dan mahu rakyat kaum India dan Cina memilih parti alternatif yang lain.

Orang-orang Cina sekarang sudah cenderung memilih DAP yang ternyata memperjuangkan nasib kaum mereka. UMNO bagi macam-macam, berjuta-juta untuk kaum Cina, tapi apa yang BN dapat? Sibu terlepas walaupun 18 juta ringgit diberikan untuk sekolah cina.

Masyarakat India pula beralih kepada Hindraf yang kebanyakan pemimpinnya berada dalam PKR. Sampaikan orang yang kita tak pernah dengar nama pun boleh menang dalam PRU12 lalu. Cina yang tak pernah bercakap,kerja bawa kamera sana-sini sampai boleh ambil gambar VK. Lingam pun boleh jadi wakil rakyat.

Yang Melayu? Dah pecah 4 sekarang. Satu kumpulan yang setia dengan UMNO. kumpulan satu lagi penyokong kuat bendera 'panadol'. kumpulan ketiga penyokong tegar bendera 'biji mat'. Yang terakhir adalah orang-orang yang tak ada apa-apa kepentingan yang selalu kena tipu dengan orang politik. Kumpulan ini terus meluat tak mahu mengundi.

Jika kaum Cina tidak menyokong MCA atau Gerakan, dan kaum India tidak menyokong MIC, mereka sokong siapa. Semua orang tahu, kami di kedai kopi pun tahu. Tentulah pilihan mereka tidak lain dari DAP dan PKR.

Kata orang-orang di kedai kopi, "2nd Singapore In The making".

No comments: