Sunday, May 30, 2010

DS. NAJIB AKAN JADI KETUA PEMBANGKANG?

Tajuk sembang di kedai kopi pagi ini agak keterlaluan tetapi dalam sindiran-sindiran sinis teman-teman meja kopi itu ada kebenaran dan kemungkinannya jika beberapa perkembangan terbaru di ambil kira. Tapi terfikirkah perkara ini dalam kepala para pendokong parti-parti Melayu terutama Umno?

Manalah mereka ada masa nak fikirkan perkara ini sebab sibuk dengan penonjolan masing-masing supaya terpilih menjadi calon dalam PRU13 nanti. Mereka tidak sedar selepas PRU13, Umno dan BN hanyalah manjadi pembangkang. Masa itu orang lain pula akan jadi PM, bukan Najib lagi.

MCA, MIC dan PPP walaupun ada sebagai parti-parti komponen BN, tetapi parti-parti itu semakin hilang penyokong kerana mencipta krisis demi krisis yang sengaja dicetuskan bagi melemahkan BN dan setrusnya melenyapkan kuasa Umno menerajui kerajaan.

Penyokong-penyokong mereka akan muak dengan perebutan kuasa dalam MCA yang akhirnya memilih 'pelakon video' filem gila menjadi presiden. Krisis tak selesai juga. ada yang marah betul dengan melepaskan semua jawatan dalam parti dan bekas presiden menolak lantikan presiden menganggotai Majlis Presiden.

PPP tidak selesai lagi dengan kes 'dua' presiden yang masih menjadi kes mahkamah. Seorang keras kepala dan seorang lagi mahu menegakkan benang basah. Entah bila akan selesai pun belum dapat dipastikan. nanti bila tiba dekat PRU13, kelamkabut jadinya.

MIC pula, dalam diam-diam meletup krisis terbaru hanya kerana presidennya tidak boleh dikritik. Siapa saja yang bersuara tentang presiden yang nampak negatif sikit, kena pecat. Siapa mahu duduk dalam parti macam itu?

Orang-orang yang tidak puas hati ini sudah tentu akan memilih DAP dan PKR. Pemilih Cina akan mengundi DAP dan pemilih India akan memilih wakil Hindraf yang berada dalam PKR. Tak mustahil DAP akan jadi PM. Anwar Ibrahim mana ada waktu itu sebab dia sudah berpindah ke Sungai Buluh. Melayu yang lain?

Melayu yang lain jadi macam sekarang jugalah. hanya melukut di tepi gantang. Bercakaran tak habis-habis. Ada yang kata 'Dacing' bagus, ada yang kata 'Panadol' bagus dan tidak kurang pula yang dakwa 'Biji Mata' yang paling bagus. Apa nak buat lagi. Dan najib pun kalau menang, hanyalah layak jadi ketua pembangkang saja.

Itulah yang mereka sembang di kedai kopi pagi tadi!

No comments: