Sunday, October 3, 2010

TUN MAHATHIR YANG AKU KENAL



Apabila Tun Mahathir diberitakan telah dimasukkan ke hospital di Australia, berbagai reaksi dan komen dari beberapa Melayu yang boleh dianggap sebagai biadap dan tidak tahu bersyukur. Kalau tidak mahu mendoakan kesejahteraan Mahathir sekalipun, memadailah bersyukur terhadap kesihatan diri sendiri yang diberi Allah. Atau sekurang-kurangnya berpeganglah kepada takdir Ilahi.

Ada Melayu yang begitu sinis mendoakan dan mengajak orang lain bersama-sama berdoa agar Mahathir cepat mati. Ada pula yang begitu biadap menyebut kata-kata yang tidak enak sama sekalai iaitu 'Kecik-kecik tak nak mampus, bila besar menyusahkan Islam'. Apakah selama ini Mahathir menyusahkan Islam? Yang aku tahu ada orang lain berstatus ulama yang menyusahkan Islam sekarang ini dengan berbagai fatwa yang dikeluarkanaya.

Kenyataan bahawa Mahathir 'tersungkur' di Melbourne oleh Azmin Ali adalah satu kenyataan bongkak seolah-olah orang ini terlalu ampuh dan tidak pernah sakit. Inilah orang yang tidak tahu bersyukur apabila ia sihat dan gembira melihat orang lain tidak sihat.

Setakat yang aku ingat, Mahathir bukan manusia jenis itu.

Suatu hari selepas menunaikan solat, aku singgah di sebuah kedai makan berhampiran Masjid Al-Haram di kota Mekah. Oleh sebab kari dan roti yang disediakan lebih dari keperluan, aku mempelawa suatu keluarga dari Pakistan makan bersama. Dalam perbualan singkat kami, sebaik sahaja menyebut dari 'Malaysia', jemaah Pakistan tersebut terus bertanyakan Mahathir.

Rupanya Mahathir amat dikenali dan sinonim dengan Malaysia di ingatan orang luar. Dan orang pakistan tersebut menyatakan rasa kesalnya kerana rakyat Malaysia 'membuang' orang seperti Mahathir. Puas aku menerangkan bahawa Mahathir bukan dibuang tetapi meletakkan jawatan.

Itulah Mahathir di mata masyarakat dunia.

Dan aku sendiri mempunyai cerita tersendiri dengan manusia bernama Mahathir ini. Ketika masih menjadi pengamal perubatan di Klinik MAHA Alor Setar kira-kira 55 tahun yang lalu. Ketika itu Mahathir amat berdedikasi merawat pesakit-pesakitnya malah beliau tidak keberatan pergi ke rumah pesakit jika ada pesakit yang bermasalah tidak dapat datang ke klinik.

Aku amat tidak dapat lupakan jasa Mahathir ketika merawat aku yang menghidapi Malaria yang ketika berusia 3 tahun. Hampir setiap 2 hari Mahathir datang ke kampung memberi rawatan sehingga aku berdaya berjalan dan pergi ke kilinik beliau bersama keluarga. Dan kekerapan beliau datang memasuki kampung kami membuatkan aku 'dekat' dengan Mahathir. Begitulah Mahathir dengan siapa sahaja pesakitnya.

Dan sekarang bila usia aku hampir mencecah 60, mendengar Mahathir dihina dan dicerca membuatkan perasaan datang berbagai-bagai. Ada rasa kesal dan ada rasa marah. Heran dengan sikap manusia Melayu yang semakin tidak beretika dan tidak mahu bersyukur. Bukan mahu bersyukur kerana dirinya masih sihat, tetapi meminta Mahathir cepat mati.

Kenapa ada orang yang begitu berdendam sehingga sanggup melancarkan kempen mengajak berdoa ramai-ramai agar Mahathir cepat mati. Selepas melancarkan doa 'pecah perut' terhadap PM satu masa dahulu, kini doa untuk Mahathir mati cepat pula. Alangkah kurang ajarnya Melayu ini. Ada pula Melayu yang menyindir bahawa asap api neraka telah siap menanti kedatangan jasad Mahathir.

Sepatutnya bila terhadap Lim Guan Eng yang bukan Islam ada Melayu yang sanggup mendoakan kesejahteraannya, apa salahnya mendoakan kesejahteraan Mahathir pula yang juga Islam seperti kita? Inilah Melayu tidak sedar diri dan bongkak. inilah Melayu yang bodoh sombong yakni 'bodoh tidak boleh diajar dan cerdik tidak boleh ditumpang'.

Hari ini (setakat penulisan ini) Mahathir dalam keadaan stabil dan semakin baik. Nampaknya doa manusia-manusia Melayu ini belum dimakbulkan Tuhan. Alhamdulillah!



No comments: