Thursday, July 29, 2010

APAPUN HENTAM DULU, MAAF KEMUDIAN

APAPUN HENTAM DULU, MAAF KEMUDIAN.

1. Dalam politik macam-macam perkara pelik dan tidak masuk akal boleh berlaku. Tidak menghairankan jika hari ini kita berkawan, esok kita menjadi lawan. Bukan pelik jika hari ini kita sehaluan, esok kita masing-masing jalan. Itu tidak menjadi aneh dalam politik. Memang pernah terjadi beberapa kali perkara seperti ini.

2. Namun trend ‘hentam dahulu, minta maaf kemudian’ perlulah dibendung agar mereka kelihatan lebih beretika dan bertanggung-jawab. Jika dibiarkan, akan berleluasalah fitnah dan kata nista dalam kalangan ahli-ahli politik sedangkan mereka mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

3. Sudah beberapa kali perkara seperti ini berlaku. Kebanyakan tuduhan dan tohmahan dilemparkan sesuka hati. Mereka tahu tidak ada satu tindakan akan diambil terhadap mereka walaupun apa yang diperkatakan ternyata tidak benar. Percakapan tanpa fakta malah ikut sedap mulut sahaja merupakan pernyataan tidak bertanggung-jawab. Tapi peduli apa, asalkan ‘hentam dahulu, maaf kemudian’ sudah cukup baik bagi mereka.

4. Datuk Mahfuz Omar adalah seorang tokoh politik terkenal dari utara, tidak pernah sekalipun meminta maaf atas apa yang diucapkannya walaupun ternyata selepas itu tuduhannya tidak berasas dan tidak benar. Sepanjang yamg diingat, begitulah. Permohonan maaf amat berat baginya tidak seperti melemparkan tuduhan sedangkan beliau amat tahu bahawa memohon maaf jika tersilap amat dituntut Islam.

5. Baru-baru ini tuduhan terhadap Tan Sri Haji Harusani amat berat dan ternyata tuduhan itu tidak berasas. Beliau masih boleh tersenyum dan membiarkan orang ramai mengandaikan macam-macam. Apa salahnya beliau merendah diri sedikit dengan memohon maaf. Sedikitpun tidak akan dipandang hina apabila kita memohon maaf.

6. Berdosakah Tan Sri Hj harusani apabila menyeru ke arah kebaikan sehingga dilabel dengan bermacam-macam tuduhan seperti penipu, pembohong dan pecacai? Yang menuduh pula adalah dalam kalangan Melayu Islam yang berjuang dalam sebuah parti Islam.

7. Tuduhan yang berat dan hina begini tidak pula dibuat kepada tokoh bukan Islam yang sentiasa menimbulkan isu-isu yang menyakitkan orang-orang Melayu dan Islam. Kenapa orang seperti Mahfuz Omar tidak menghalakan kemarahan dan cercaan kepada Tony Pua dan Khalid Ibrahim yang mahu menghapuskan keistimewaan orang-orang Melayu?

Wednesday, July 28, 2010

TERGAMAK MAHFUZ

1. Apabila Datuk Mahfuz Umar, Timbalan Presiden PAS meletak label sebagai "PECACAI UMNO" kepada Tan Sri Haji Harusani Zakaria, ia menggambarkan beberapa situasi yang melanda PAS dan juga para pemimpinnya. Orang bodoh sekalipun dapat mentafsir apaa yang tersirat dalam kalangan wibawa dan budi parti Islam itu dan juga para pendokongnya.

2. Dari apa yang disuarakan para pemimpinnya, ternyata PAS belum dapat menerima hakikat bahawa merka hanyalah syok sendiri dengan sokongan DAP dan PKR yang ternyata dan jelas tidak akan menerima Islam sebagai asas perjuangan dan tidak akan memperakui Melayu sebagai bumiputera yang mempunyai hak-hak keistimewaan. Mereka tidak sedar ada program terancang dari parti kaum Cina itu dalam usaha melemahkan kerajaan dan memporak-perandakan bangsa Melayu.

3. PAS juga nampaknya tidak suka kepada perkara-perkara baik yang cuba dibawa oleh para mufti dan ulama kerana mereka ini tidak sama atau tidak serupa dengan para ulama yang ada dalam parti mereka dan sesiapa sahaja yang cuba menyeru ke arah penyatuan dan keharmonian akan dilabel dengan berbagai gelaran termasuk pembohong, penipu dan yang paling terbaru adalah sebagai 'pecacai Umno'.

4. Sebenarnya tidak ada perkataan 'pecacai' dalam bahasa Melayu. Ada perkataan yang serupa dengannya iaitu 'pecacal' yang membawa maksud pacal atau hamba. Agaknya itulah maksud yang mahu diberikan kepada Tan Sri Hj. Harusani oleh Datuk Mahfuz apabila memberi gelaran sebegitu. Walau apapun perkataan yang digunakan, itu bukan isu penting. Yang penting adalah maksud yang terbuku di hati Mahfuz.

5. Hina sangatkah Tan Sri Harusani sehingga dilabel begitu rupa hanya kerana hendak menyatukan bangsa Melayu yang telah porak peranda kerana ego beberapa puak dan dibantu pula oleh kegiatan bangsa-bangsa lain yang suka melihat Melayu jadi begitu. Mereka nampak apabila Melayu menjadi kucar-kacir dan musnah, senanglah negara ini dieksploitasikan menjadi apa saja yang mereka inginkan kerana ketika itu Melayu tidak berdaya lagi dari semua aspek termasuk aspek keagamaan.

6. Yang menghairankan, label-label yang diberikan kepada seorang berstatus ulama ini dibuat oleh individu-individu yang saban hari bercakap tentang agama dan keesaan Allah. Hari-hari mereka bercakap tentang dosa dan pahala. Malah mereka juga bergelar ulama dan ada yang tergolong sebagai Tok Guru.

7. Besar sangatkah dosa Tan Sri Hj Harusani apabila menyeru kepada penyatuan umat Melayu dan Islam? Salahkah apabila orang Islam menyeru ke arah kebaikan sesama Islam. Ternyatalah tindak-tanduk puak-puak yang ego ini mengelirukan khalayak yang ramai kerana kita sentiasa disemai dengan amalan untuk berbaik-baik sesama manusia apatah lagi sesama Islam.

8. Berlainankah Islam Umno jika dibanding dengan Islam DAP dan Islam PKR? Ternyata PAS dapat menerima DAP tanpa mengungkit-ungkit dasar perjuangan tetapi bila hendak menjalin kerjasama dengan Umno berbagai syarat dan perubahan dasar dituntut.

Monday, July 26, 2010

DAP DAN PKR SUDAH TUKAR KEPADA DASAR ISLAM?

1. Kami petik kata-kata Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. Kata-kata ini dipetik dari Sinar Harian Edisi Utara dua hari yang lepas:

"Kita tetap dengan dasar yang sama dan tidak akan mengubahnya.
Kalau mereka mahukan kerjasama terlaksana segera,
pertimbangkan dan ubah dasar dengan segera".

2. Fahamlah kami bahawa kata-kata penuh makna ini ditujukan kepada Umno kerana bagi PAS mereka tidak boleh menjalin kerjasama dengan Umno kerana dasar Umno tidak berlandaskan Islam dan Umno tidak Islamik.

3. Kami juga faham maksud kata-kata itu, jika Umno mahu menjalin kerjasama dalam masa terdekat iaitu kerjasama dalam masa yang segera, parti itu hendaklah ubah dasar perjuangannya iaitu kepada perjuangan Islam seperti perjuangan PAS. Maknanya jika tidak berjuang atas prinsip Islam, PAS tidak ingin mengadakan kerjasama yang dicadangkan malah hendak berbincang pun tidak mahu.

4. Amat tegas dan bagus sekali pendirian PAS, benar-benar mmpunyai roh Islam dan mahu 'berkawan' atau berjuang bersama-sama parti yang memperjuangkan dasar Islam sahaja. Kalau tidak berteraskan perjuangan agama Islam, PAS minta maaf, tidak dapat menjadi sahabat dan tidak dapat bersatu dalam perjuangan.

5. DAP yang menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat telah mengubah dasar perjuangannya kepada dasar Islam. Ini kita ketahui apabila Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang mengambil seorang tokoh Islam sebagai idolanya. PAS seronok dan memuja dan memuji Lim Guan Eng kerana mencontohi Khalifah Umar Abd Aziz.

6. Lim Kit Siang pun tidak lagi menyerang PAS dalam setiap ucapannya malah biasa berpelukan dan berdakapan dengan Haji Hadi dan juga Nik Abdul Aziz. Malah Karpal Singh pun mungkin telah melupakan kata-katanya 'langkah mayat saya dulu kalau hendak menubuhkan negara Islam'.

7. Parti Keadilan Rakyat juga sama seperti DAP, telah mengubah dasar perjuangannya kepada Islam. Malah ada antara pemimpinnya dari kaum Cina dan India telah boleh membaca ayat-ayat Quran dalam ceramah-ceramah dan siap dengan pengertiannya sendiri. Malah ada pemimpin bukan Islam dibawa masuk berceramah di dalam masjid.

8. Jadi jika Umno berhasrat menjalin kerjasama dengan PAS, Umno harus mengubah dasarnya. Tapi yang musykilnya nak ubah jadi apa? Apakah yang diperjuangkan Umno sekarang bukan ke arah perjuangan Islam? Yang kami tahu orang-orang Umno juga Melayu dan Islam. Malah bersama-sama dengan orang-orang PAS bersembahyang di masjid yang sama dan berimamkan imam yang sama.

9. Inilah yang mengelirukan dari kenyataan Dr Haron Din itu. Apakah maksudnya DAP dan PKR itu lebih Islam dari Islamnya Umno?


Friday, July 23, 2010

DIA BUAT BOLEH, ORANG LAIN JANGAN

Selama ini para pemimpin DAP dan pembangkang yang lain begitu ceria dan seronok setiap kali boleh 'membantai' siapa sahaja musuh politik mereka. Tidak kiralah apa yang 'dibantai' itu betul atau salah, yang penting orang yang mendengar dan membaca turut mengiakannya dan tumpang seronok.

Jadi tentulah orang yang bersikap begini boleh menerima pula kritikan orang lain terhadap mereka. Kita sedap-sedap 'hentam' orang, biarlah sekali sekala orang 'hentam' kita pula. Rupanya tidak bagi 'Khalifah Umar Abdul Aziz' dari Pulau Pinang ini. Dia mahu hanya dia sahaja yang menghentam orang tapi orang lain jangan menghentamnya kembali.

Rupanya dalam wajahnya yang nampak ceria dan tenang itu, Lim Guan Eng ini ada sifat pemarah juga. Dalam lembut tuturnya, ada dendam membara yang mesti dihamburkan apabila dia dikritik orang. Betulkah itu sifat Khalifah Umar yang dijadikan idola beliau?

Lim Guan Eng lupa bahawa selama ini beliau mengkritik orang lain tanpa sempadan. Ikut sedap sahaja. Siapa sahaja yang tidak sependapat dengan DAP dan beliau sendiri pasti terima padahnya.

Itulah yang berlaku kepada Nik Ali di Pulau Pinang. Sesudah beberapa kali Guan Eng menghentam beliau dengan perkataan-perkataan yang tidak wajar, sekali sahaja Nik Ali membalasnya dengan perkataan dayus dan biadap, beliau terus melenting. Exco terus dipanggil untuk bermsyuarat dan mengeluarkan resolusi bahawa Nik Ali tidak diperlukan di Pulau Pinang.

Beliau terus lupa yang sebelum ini sudah tiga kali beliau melabelkan Nik Ali dengan beberapa gelaran. Itulah corak pemerintahan 'Khalifah Umar Abdul Aziz' di Pulau Pinang. Takut bertindak sendiri tetapi bertumangkan mesyuarat Exco. Dan Exco yang lain pun macam badut Pak Mahadi, menganggukkan kepala tanda setuju. Mana berani lawan dengan Khalifah.

MENGAPA PAS ENGGAN BERKERJASAMA DENGAN UMNO?

Jadi atau tidak kerjasama antara parti PAS dengan Umno belum dapat dipastikan. Perbincangan ke arah itupun belum dibuat dan masing-masing masih lagi rancak kata-mengata. Rupanya banyak sungguh halangan untuk orang Melayu dan Islam bersatu. Macam-macam syarat diletakkan walaupun semata-mata baru hendak berbincang. Patutlah Islam di seluruh dunia caca-merba seperti di Malaysia juga sebab orang Islam sendiri tidak pernah membuang ego masing-masing.

Yang lebih menyedihkan, pihak yang membuat saranan dan cadangan supaya kedua-dua parti Melayu itu bersatu dikecam begitu hebat sekali. Orang yang menyeru ke arah kebaikan dicerca begitu rupa seolah-olah apa yang disuarakan para ulama dan cendekiawan itu sesuatu yang melanggar syariat. Lihatlah apa yang terjadi kepada Datuk Seri Harusani, sampai ada yang sanggup mengatakan beliau pembohong.

Inilah politik Malaysia dan inilah juga sifat buruk yang dimiliki orang-orang Melayu. Bangsa lain pun ada berlainan pendapat juga tetapi dapat bersatu dalam senyap. Orang Melayu lain pula, pantang ditegur biarpun teguran kepada kebaikan. Seolah-olah teguran demi teguran itu mencemarkan maruah dan menjatuhkan air muka.

Akhir-akhir ini Umno dilihat agak berlembut sedikit dan lebih positif kepada keinginan untuk berbincang tetapi di pihak yang satu lagi masih dengan nostalgia cerita-cerita lama yang dimainkan berulangkali bahawa tidak mahu tertipu lagi dengan Umno dan pintu rundingan sudah ditutup. Para pemimpin PAS lepas eorang, seorang pula memberi kupasan dan mendominasikan cerita lama untuk menggagalkan pertemuan kedua-dua pihak itu.

Akhirnya tinggal Umno yang kelihatan ‘terhegeh-hegeh’ membuntuti PAS menagih perubahan pendirian para pemimpin atasan PAS yang nyata dari awal lagi sudah memberi lampu merah walaupun sekadar berbincang. Nampak sangat Umno yang ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Kenapa PAS berdegil menolak usaha murni para ulama dan mufti ini? Semua orang sudah maklum. Selama ini para pemimpin PAS menjadi popular dengan menjadikan Umno sasartan maki-hamun dan cacian. Malah para pemimpin Umno kecil besar dipancung diang dan malam di pentas-pentas ceramah. Tokoh-tokoh seperti Mahfus Omar, Mohamad Sabu, Husam Musa dan beberapa nama lagi menjadi minat ramai kerana kepetahan menghentam dan memfitnah para pemimpin Umno.

Jadi jika Umno dan Pas menjalin kerjasama, tokoh-tokoh ini sudah tidak ada kerja. Kalau hendak berceramah pun sudah tidak sedap lagi. Hendak beralih menghentam Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh ataupun Lim Guan Eng tentu tidak sampai hati. Walaupun itu saja pilihan yang ada tetapi sanggupkah mereka? Mahu tak mahu, Umno juga akan dijadikan sasaran. Kerana itu, cadangan penyatuan dan kerjasama ini ditentang habis-habisan.

Nik Aziz tentulah terkilan kerana terpaksa membuka pintu ‘syurga’ kepada ahli-ahli Umno juga kalau sudah berbaik dengan Umno sedangkan sebelum ini hanya orang PAS sahaja yang layak masuk syurga. Sebab itu Nik Aziz menentang sangat usaha menyatukan Melayu dan Islam ini.

Jadi sampai bilapun Umno dan PAS tak akan bersatu. Orang-orang Melayu sampai bilapun tidak akan bersatu.

Wednesday, July 21, 2010

SEMUT MATI KERANA GULA, NAJIB 'MATI' KERANA ROSMAH

Memang tiada siapa boleh memberi sebab mengapa semut mesti mati kerana gula. Gula adalah makanan semut tetapi semut mesti mati juga kerana makanannya sendiri. Kalau tak percaya, lepaskan semut ke dalam balang berisi gula. Lama kelamaan kita akan dapati semut itu mati.

Tidak siapa tahu sebabnya dan tiada siapa yang pernah mengkajinya atau berura-ura mengkajinya. Mungkin terlebih memakan gula lalu kena kencing manis dan mati. Ataupun terhimpit oleh gula yang banyak dalam balang. Ataupun mati kerana kehabisan udara untuk bernafas.

Orang tidak ambil peduli soal semut itu.

Tapi dalam hal Najib ini orang ambil peduli dan ada orang mengkajinya. Tentulah orang ambil kisah kerana beliau Perdana Menteri sebuah negara dan memimpin sebuah parti Melayu yang ternama. Orang nampak Najib akan jadi seperti semut tadi tapi 'kematian' Najib bukan kerana gula. Najib akan 'mati' kerana Rosmah, isrerinya. Sedikit demi sedikit Rosmah mencipta senjata bakal membunuh kerjaya Najib di kedudukannya sekarang. Masa depan politik Najib akan hancur. Itulah 'mati' yang dimaksudkan.

Banyak sudah sejarah negarawan 'mati' kerana perempuan. Sejarah silam menceritakan betapa Samson yang gagah perkasa boleh jatuh kerana seorang perempuan bernama Delailah. Dalam sejarah moden Amerika pula politik Bill Clinton tergugat kerana perempuan bernama Lewensky.

Tidak mustahil Najib boleh tersungkur kerapa perempuan bernama Rosmah. Kalau najib tidak menjaga dan mengawal isterinya supaya jangan 'terlebih sudu dari kuah', perkara ini tidak mustahil.

Belum pernah dalam sejarah Malaysia isteri Perdana Menteri begitu agresif menonjolkan diri seolah-olah dia yang 'mengurus negara' sekarang ini. Selalu yang dibuatnya mengalahkan PM sendiri apatah lagi menteri-menteri. Ada-ada saja cerita yang diciptakan Rosmah menampakkan seolah-olah dia yang memberi arahan kepada Najib. Cakapnya melebihi menteri dan melangkaui Najib.

Contoh terkini adalah yang berlaku di Sabah dua hari lepas. Kalau setakat merasmikan Wisma Wanita sahaja tidaklah janggal sangat tetapi sampai mengumumkan mahu supaya kerajaan membina wisma berkenaan di semua negeri, itu sudah seperti cakap Perdana Menteri. Perkara macam tu biarlah Menteri Pembanguna Wanita ataupun PM sendiri yang umumkan, bukan Rosmah.

Nanti bila betul-betul dibuat wisma berkenaan, orang akan nampak Najib takut bini dan dengar semua cakap bini. Mana boleh seorang PM orang yang takut bini. Inilah yang akan memusnahkan Najib..

Barulah betul NKRA (Najib Kerja Rosmah Arah).

Sunday, July 18, 2010

UMNO KUAT, BN TETAP LEMAH

Pada 13 Julai lepas, DS Najib mengingatkan pihak-pihak yang menganggap bahawa yang menyebabkan Umno beria-ia sangat hendak menjalin kerjasama dengan PAS kerana parti itu sudah lemah, membuang tanggapan tersebut.

Menurutnya Umno kuat dan bertambah kuat. Dan kerjasama yang hendak dijalinkan ini semata-mata untuk perpaduan Melayu dan perpaduan Islam seperti saranan beberapa pihak termasuk para cendekiawan dan juga para ulama.

Perkara ini tidak kita nafikan. Memang Umno kuat. Tetapi bukan Umno sahaja yang menunjangi kerajaan pada masa ini. Setakat Umno sahaja yang berdiri seorang diri, kerajaan sekarang ini tidak akan wujud. Umno tidak boleh berdiri dengan sendirinya melainkan memerlukan sokongan dari beberapa parti komponen yang lain.

Kalau Umno kuat dan Barisan Nasional tidak kuat, apalah gunanya. Yang penting BN yang mesti kuat. Jadi senario ini hendaklah Najib ingat. Jangan terlalu sombong. Melayu hanya ada 60% dari rakyat Malaysia. Jumlah ini pula terbahagi kepada 3 seperti kata Dr. Mahathir. Jadi kalau setakat 20% sokongan terhadap Umno tanpa sokongan dari kaum lain, usah Umno mimpi hendak tadbir negara.

Sekarang komponen BN yang lain telah lemah. Semua dalam huru-hara. MCA sudah tidak dipercayai lagi malah ada pemimpinnya dilihat bertalam dua muka. MIC dilanda krisis kepimpinan yang tidak ada penghujungnya. PPP belum lagi selesai tentang isu 2 presiden. Hanya kmponen di Sabah dan Sarawak sahaja yang selamat. Jadi Umno tidak dapat tidak mesti menjalin hubungan dengan parti Melayu yang lain untuk meneruskan kelangsungan kuasa politik Melayu di masa akan datang. Setidak-tidaknya dapatkan 20% lagi daripada PAS.

Jadi Najib jangan angkuh. Hulurkan tangan kepada PAS dan jalinkan hubungan sebaik-baiknya. Jika tidak usah harap Putrajaya akan menjadi milik Melayu selepas PRU13 nanti seperti kata Datuk Seri Harusani, Melayu akan hilang kuasa politik.

Setakat Umno saja kuat tapi BN lemah nak buat apa?

Saturday, July 17, 2010

UMNO KENA MAIN LAGI

Nampaknya Umno dipermainkan lagi. Umno diperlekehkan lagi dan dinista begitu rupa sehingga orang yang waras pasti merasai terhina. Umno dicerca lagi bahawa ia sebuah parti yang jelas 'menolak' Islam. Orang yang memperbodohkan Umno itu pula bukan calang-calang orang. Orang itu adalah Nik Abdul Aziz, Tuan Guru yang sangat dimuliakan PAS.

Orang yang mencerca dan menghina Umno inilah juga yang boleh menentukan siapa masuk syurga dan siapa masuk neraka. Dia juga dapat menentukan sembahyang siapa yang diterima Allah dan sembahayang siapa yang tidak diterima.

Baru 2 hari menyatakan kesediaan bertemu dan berbincang dengan Umno, baru dua hari beria-ia mahu bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, malah Tan Seri Muhyiddin pun sudah memuji-muji sikap terbuka Nik Aziz, sekarang sudah berubah. Gamaknya mendapat 'wahyu' terbaru, lalu membatalkan hasrat berbincang tentang politik dan Melayu. beliau hanya sedia berbincang soal-soal berkaitan royalti minyak.

Sedang Umno sudah bersedia untuk merangka agenda perpaduan Melayu dan Islam selaras dengan saranan beberapa cendekiawan serta ulama, Pas pula menolak malah menghina dengan beberapa tuduhan. Dan yang menyedihkan Nik Aziz kata pintu rundingan sudah lama ditutup. Agaknya akan jadi macam mana ungkapan DAP kepada PAS juga tapi kali ini akan berbunyi, "Langkah mayat Nik Aziz dulu". Waktu itu barulah boleh berunding.

Jika terbukti Umno menolak Islam seperti yang dikatakan Nik Abdul Aziz, agaknya apakaah agama orang-orang Umno ini. Apa pula pegangan agama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri?

Yang herannya apa yang mahu ditunggu lagi oleh puak-puak Umno ini. Mahu apa lagi kerana ini bukan kali pertama dipermainkan seperti ini. Usahlah berlagak ' hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'. Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!

Friday, July 16, 2010

PEMILIHAN KATA

Orang tua-tua berpesan supaya jaga mulut waktu berbicara, jaga lidah waktu bertutur kata. Jika tidak, akibatnya nanti banyak yang buruk daripada yang baik. Kesannya amat merugikan jika kita terlepas cakap.

Peribahasa 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya' sudah cukup mengajar kita agar berhati-hati semasa berbicra. Lebih-lebih lagi apabila berucap di khalayak yang ramai. lagi ramai khalayak, lagilah susah sebab untuk membuktikan apa yang kita telah cakapkan amat ramai
.

Jadi perlulah berhati-hati memilih perkataan yang sesuai bila mengeluarkan kata-kata. Inilah yang terjadi kepada bapak menteri dari Sabah ini, yakni Datuk Shafie Afdal. Perkataan 'SESAT' yang digunakannya bagi menceritakan ajaran yang dibawa PAS amat tidak sesuai dan tidak patut sama sekali.

Tak payah beliau hendak menafikan bahawa maksud beliau bukanlah menggambarkan aspek akidah tetapi tentang dasar perjuangan. Orang bodoh manapun, bila dikaitkan 'sesat' dengan PAS, tentulah faham sungguh-sungguh ia ada kaitan dengan agama, sementelah perkara itulah selama ini menjadi fokus serangan dari luar PAS. Jadi siapapun yang mendengarnya akan faham bahawa apa yang dimaksudkan bapak menteri itu adalah tentang kesesatan ajaran akidah PAS, bukan seperti yang diterangkan beliau kemudian.

Macam manapun, terimakasihlah kerana beliau cepat sedar dan sempat pula mencari alasan yang nampak munasabah juga. Jadi selepas ini berhati-hatilah memilih perkataan kerana beliau seorang menteri. Bila menteri bercakap seperti orang tiada akal atau ikut sedap sahaja, masakan Najib tersalah pilih orang.

Belajarlah dari najib untuk memilih perkataan jika bercakap kerana PM ini orang uang pandai memilih perkataan. Tak mahu sebut harga barang dinaikkan, beliau memilih perkataan harga minyak dan gula 'diselaraskan'. Entah dengan apa yang diselaraskan pun kita tidak dapat fikirkan.

Wednesday, July 14, 2010

BETULKAH UMNO PEMBELA BAHASA MELAYU?

Ketika merasmikan persidangan Umno Bahagian Kota Tinggi, Johor, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan bangga mengumumkan bahawa selama ini dan selamanya Umno menjadi pembela bahasa Melayu di negara ini. Tegas beliau, Umno adalah parti yang selama ini berjuang memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya termaktub dalam perlembagaan negara.

Kenyataan yang dibuat ini amat disambut baik tambah-tambah lagi apa yang dinyatakan itu benar-benar datang dari aspirasi parti Melayu terbesar di negara ini, yang pula sedang memegang mercu pemerintahan negara.

Tetapi apa yang disangsikan, hanya beliau sahaja yang beria-ia berkata demikian. Hanya Datuk Seri Rais sahaja yang kita lihat mempunyai komitmen kea rah tersebut sedangkan para menteri Umno yang lain tidak berbuat demikian.

Alangkah baiknya jika apa yang dikatakan Dr Rais itu benar-benar terjadi.Malah alangkah baiknyan jika para menteri dan para pemimpin Umno yang lain mempunyai komitmen sebagaimana beliau, nescaya bahasa Melayu tidak menjadi seperti sekarang, menjadi bahasa yang caca-merba.

Banyak bukti-bukti yang jika ditulis, nescaya tidak dapat dinafikan para pemimpin negara dari Umno sendiri lebih mengutamakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Dalam beberapa majlis rasmi yang dihadiri khalayak rakyat Malaysia sendiripun, para pemimpin ini tidak mahu berbahasa Melayu. Telah banyak kali perkara ini dibangkitkan tetapi apabila menyentuh para pemimpin tertinggi, apa yang diperkatakan jadi ‘seperti anjing menyalak bukit’.

Ada pemimpin, tentunya tokoh Umno, pada sebelah pagi berucap merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan, berapi-api menyatakan komitmen kerajaan memartabatkan bahasa Melayu, pada sebelah malamnya menyampaikan pula ucapan dalam majlis yang lain dengan bahasa Inggeris sedangkan yang hadir adalah rakyat Malaysia sendiri.

Dalam perjumpaan dengan rakan-rakan ‘facebook’ semasa satu acara minum petang, pemimpin Melayu menggunakan bahasa Inggeris semasa berinteraksi dengan para ‘sahabat’ facebooknya, sedangkan ‘sahabat-sahabat', itu adalah rakyat Malaysia belaka.

Banyak lagi contoh-contoh yang dapat diberikan tetapi hanyalah seperti ‘mencurah air di daun keladi’ dan suara kami hanyalah ‘seperti anjing menyalak bukit’.

Jadi Dr Rais usahlah uat jenaka yang seperti itu. Orang dapat membaca dan melihat apa yang berlaku selama ini. Macam mana dikatakan Umno pembela bahasa Melayu jika para pemimpin Umno sendiri tidak yakin dengan bahasa itu? Perkataan ‘pembela’ itu tidak sesuai digunakan dalam konteks ini. Nanti kata orang, jadi seperti ayam, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Tuesday, July 13, 2010

APAPUN KENA BAGI CINA DAN INDIA GEMBIRA

Di Malaysia dewasa ini mungkin akan menjadi satu fenomena baru, nak buat apapun, kenalah fakir untuk gembirakan kaum Cina dan India. Orang Melayu letak tepi dulu sebab Melayu tidak minta apa-apa selagi boleh makan, pakai dan beranak-pinak. Yang penting kena puaskan hati kaum-kaum yang lain yang akhir-akhir ini meminta macam-macam. Barulah kononnya konsep ‘1 Malaysia’ di landasan yang betul.

Baru sahaja berapa hari Ibrahim Ali bertelagah dengan Wee Ka Seong mengenai biasiswa JPA, Najib terus buat keputusan. Sesudah puas berbagai pihak menghentam Ibrahim Ali cukup-cukup, akhirnya keputusan menyebelahi kaum Cina dan India yang secara halus menuntut hak pemberian biasiswa tersebut. Amalan sebelum ini dilempar terus sebaliknya Najib mempelawa siapa sahaja yang mempunyai keputusan 9A+ tampil menuntut baisiswa tersebut.

Senang sahaja buat keputusan, tanpa ada perbincangan lanjut dan tanpa ada apa-apa tindakan susulan terhadap pertelagahan Ibrahim yang mewakili Perkasa dengan beberapa pemimpin MCA dan juga Umno sendiri. Bukan main lantang Khairy Jamaluddin memberi gelaran demi gelaran kepada Ibrahim Ali.

Akhirnya kaum Cina berjaya mendapat apa yang dituntut selam ini. Bila Cina dapat, kaum India ketawa besar., mereka juga dapat. Gembiralah mereka kerana timbulkan isu sedikit sahaja, kerajaan sudah mengalah. Dan Melayu yang rata-rata amat sedikit jumlahnya mendapat 9A+ itu melopong tanpa mendapat keistimewaan lagi.

Ini barulah kena dengan konsep ‘1 Malaysia’, Cina dan India didahulukan, Melayu dikemudiankan.

Harap-harap nanti PRU13, mereka mengundi Barisan Nasional.

Thursday, July 8, 2010

PAS AKHIRNYA MALU DAN TERKEDU

Akhirnya apa yang tidak mahu didengar oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz terpacul juga dari mulut pengerusi DAP, Karpal Singh. Tetapi semua orang tidak terkejut dan terperanjat sama sekali dengan kenyataan itu termasuk Nik Abdul Aziz sendiri. Semua orang sudah maklum memang itulah pendirian DAP sejak dahulu lagi.

Jika bersetuju dengan dasar pembentukan Negara Islam PAS, masakan kenyataan “langkah mayat saya terlebih dahulu” boleh terkeluar dari mulut Karpal Singh sebelum ini. Dan kini, dengan kenyataan terbaru ini, seolah0olah satu sessi ulangkaji kepada PAS terhadap pendirian dan dadsar perjuangan DAP yang sememangnya tidak akan sealiran dengan dasar PAS, namun tetap diangkat sebagai rakan kongsi bersama PKR.

Semua pemimpin tertinggi PAS tahu dari awal lagi pendirian DAP ini. Mereka juga sedar meniru gaya kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz hanyalah retorik dan drama mainan DAP semata-mata sedangkan pada hakaikatnya tetap membelakangkan aspirasi Islam dan Melayu yang diperjuangkan PAS. Namun kerana kuasa dan perlukan sokongan DAP untuk berkuasa, soal maruah dan perjuangan diletak ke tepi.

Demikian juga DAP, demi mencapai cita-cita dan kuasa terpaksalah akur dengan prinsip ‘engkau tolong aku, aku tolong engkau’, tidak lebih dari itu. Dalam hal ini, PKR cukup cerdik, hanya menunggu peluang 'menangguk di air keruh, menahan lukah di pergentingan’. Daripada berjuang sendirian yang pasti tidak ke mana-mana disebabkan perjuangannya hanya membela individu tertentu, lebih baik tonjolkan diri semulia mungkin bagi meraih sokongan rakyat. Dan umpan serta impian PKR ternyata memberi pulangan yang tidak merugikan.

Kali ini apabila DAP melalui Karpal Singh meminta Nik Abdul Aziz menghormati pendirian DAP dalam isu pembentukan negara Islam apabila Pakatan Rakyat merampas Putrajayaa nanti, PAS kembali dalam kancah dilemma. Sebagai menyedapkan hati, secara berlapik Nik Aziz merumuskan bahawa kenyataan itu adalah kenyataan peribadi Karpal Singh, bukan kenyataan rasmi DAP.

Tetapi Nik Aziz lupa bahawa rakyat sekarang bukanlah bodoh. Ahli-ahli PAS bukan semuanya tidak cerdik dan sentiasa berjaya dicucuk hidung mereka. Kata-kata Nik Aziz itu hanyalah untuk membuat ahli-ahli PAS bertenang semata-mata sedangkan semua orang tahu pandangan dan saranan karpal itu membawa satu mesej yang amat jelas.

Jadi apa yang PAS tunggu lagi selain memnyatakan pendiriannya tentang perjuangan menubuhkan negara Islam yang dgembar-gemburkan semenjak era kepemimpinan Ustaz Fadzil Noor dahulu lagi sehingga ada kalangan pemimpin parti Islam itu melabelkan ahli Umno sebagai kafir pada waktu itu. Masakan kerana kuasa PAS sanggup menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan.

Usah malu dan terkedu. Rakyat dapat menerima sebarang penjelasan walaupun pahit asalkan datang dari hati yang ikhlas dan benar-benar bertanggungjawab. Jika tidak, apalah bezanya perjuangan PAS dengan Umno yang sering dihina dan dinista Tuan Guru.
Sama sahaja!