Saturday, June 25, 2011

MAHARAJA LAWAK YANG TIDAK LAWAK

Keputusan program Maharaja Lawak kendalian Astro telahpun diumumkan. Mahu tidak mahu, terima sahajalah ‘kumpulan Sepah’ yang berasal dari Johor sebagai juara dan dinobatkan sebagai ‘Maharaja’ program tersebut walaupun sebenarnya terlalu banyak yang boleh dipertikaikan.

Bak kata orang, ‘rumah sudah pahat berbunyi’. Tetapi hakikatnya memang pahat terpaksa berbunyi kerana selagi rumah tidak siap tidak nampak cacat celanya. Ramai yang menjangkakan ‘Jozan’ patut menjadi juara walaupun kalungan bunga kemenangan seakan menjadi milik ‘Nabil’. Malangnya Sepah menduduki carta teratas walaupun jenaka mereka amat menyakitkan.

Entah kenapa, ramai antara kita masih terpukau dengan jenaka yang amat memalukan dengan menyentuh keperibadian seseorang. Sepatutnya kumpulan Sepah jangan meniru dan memperlekehkan penceramah agama dan motivasi Puan Norbahyah Mahmood yang berasal dari Yan, Kedah itu.

Apa motifnya Sepah meniru dan mempersenda watak motivator suami isteri itu? Lebih meyakitkan lagi pengkritik yang diberi jolokan ‘The Legend’ oleh pengacara AC Mizal memuji dan memberi markah penuh kepada Sepah dan mengiktiraf persembahan mereka sebagai jenaka Melayu terbaik. Masakan jenaka mempersendakan orang lain sebagai jenaka yang dimaksudkan sebagai terbaik dan patut diberi markah penuh?

Ini adalah kali kedua Sepah meniru dan mempersendakan tokoh motivasi tersebut. Kali pertama adalah di persembahan seminggu sebelum itu iaitu yang dibuat di Johor Baharu.

Walaupun komen ini tidak boleh mengubah apa-apa keputusan, diharap perkara sebegini tidak berulang. Sekiranya terjadi lagi selepas ini maka sahlah bahawa penonton berbangsa Melayu (Rata-rata penonton Maharaja Lawak adalah Melayu) memang mengiktiraf jenaka yang mempersendakan orang lain atau orang Melayu memang suka mempersendakan orang lain.