Tuesday, August 31, 2010

MALU SEORANG MELAYU



Malunya jadi Melayu
asal sebuah bangsa yang cerdik
tetapi amat mudah orang menipu
dari sebuah bangsa yang agung
sudah berubah jadi bodoh sombong
mudah pula dicucuk hidung.

Malunya jadi Melayu
ada bahasa sendiri
tetapi selalu hanya diletak ke tepi,
kononnya ia bahasa kebangsaan
langsung ia tidak dimartabatkan,
tertulis dalam perlembagaan
bahasa asing juga yang jadi pilihan.

Malunya jadi Melayu
jika setakat menang sorak
hakikatnya kampung sendiri tergadai
setakat kokok berderai-derai
ekor tetap juga bergelumang tahi.

Malunya jadi Melayu
sebuah bangsa merempat di rumah sendiri
Raja sudah tidak berkuasa lagi
Islam di letak di bawah kaki,
angkara Melayu sendiri
orang lain memegang kunci ekonomi
Melayu hanya layak jadi kuli.

Malunya jadi Melayu
sama-sama mengaku Islam
sama sendiri juga berkelahi
sama sendiri juga caci mencaci
tetapi dengan orang lain
intim mengalahkan bini
mulia mengalahkan Nabi.

Malulah jadi Melayu!

Monday, August 30, 2010

PESAN DATUK NENEK KITA

Orang tua-tua dan datuk nenek kita pernah berkata:

"Kerja terburu-buru tidak akan menjadi seperti yang kita mahu, kalau hendak cepat kita akan tersesat."

Aku masih ingat dan terus berpegang kepada nasihat orang tua-tua kita itu dalam berbuat sesuatu perkara kerana apa yang diucapkan itu adalah melalui pengalaman dan pemerhatian mereka sekian lama.

Ternyata ada kebenarannya dari pesanan datuk nenek kita itu. Lihatlah negara kita sekarang sesudah 53 tahun diisytiharkan merdeka, kita belum merdeka dari bermacam-maam masalah akibat terlalu hendak cepat merdeka dahulu. Oleh terlampau teruja hendak mengecapi kemerdekaan, kita terburu-buru mendesak penjajah melepaskan kita dari belengu penjajahan.

Ketika mendesak penjajah melepaskan kita, kita terima sahaja apa syarat yang dikenakan tanpa pemikiran pragmatis. Asalkan merdeka, sudah mencukupi dan kita terima segala 'onar' dan 'kekotoran' yang ditinggalkan penjajah. Kita menerima segala jenis manusia yang dahulu dibawa Inggeris untuk aktiviti perlombongan bijih dan perladangan getah mereka.

Apabila kita terlalu cepat hendak merdeka, belum sempat Inggeris menyelesaikan masalah pekerja kombong dan ladang ini, kitalah yang mesti menanggungnya dengan perlembagaan yang mereka sediakan untuk kita. Dan kita hanyalah mempunyai kelebihan sedikit pada Bab 153.

Dan sekarang kaum-kaum yang ditinggalkan untuk hidup besama kita sudah mula mencabar dan menggugat hak kita di bahagian 153 itu.

Kita tidak sempat membuat penegasan tentang dasar-dasar kebangsaan mengenai bahasa, budaya dan agama semasa menerima syarat kemerdekaan oleh sebab terlalu hendak merdeka. Inilah habuan yang kita dapat akibat sikap melakukan sesuatu dengan terburu-buru.

Sesudah 53 tahun merdeka kita masih lagi dengar ada kaum yang tidak tahu berbahasa Melayu. Masih ada lagi golongan yang mempersendakan agama. Masih ada juga golongan yang sentiasa menghina Raja dan Sultan.

Lihatlah negara yang tidak pernah merdeka sebab tidak pernah dijajah. Di Thailand tidak wujud bangsa-bangsa seperti di negara kita. Tidak adapun sekolah Cina dan sekolah Tamil. Demikian juga di Indonesia., sehinggakan nama mereka sendiri adalah dalam bahsa Thai dan Indonesia.

Itulah Malaysia yang merdeka dalam keadaan terburu-buru. Sesuailah dengan pesan orang tua-tua dahulu.

Sunday, August 29, 2010

APABILA NIK AZIZ MEMBERI NASIHAT, .........

Sejak bermulanya demonstrasi BENDERA di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia, teringin sangat hendak mendengar pandangan Tuan Guru Nik Aziz mengenainya selain mendengar dan melihat ketegasan Menteri Luar Malaysia sendiri. Akhirnya Nik Aziz bersuara juga berupa nasihat yang berguna.

Namun apa yang dilihat, nasihat tersEbut seolah-olah 'cakap tidak serupa bikin' pula kerana apa yang dilaksanakannya di negara sendiri jauh menyimpang dari nasihat yang diberikannya di peringkat antarabangsa. Berikut dipetik beberapa ayat yangn diucapkan Nik Aziz mengenai insiden 'baling najis' di kedutaan Malaysia baru-baru ini.

- ...sepatutnya masalah kedua-dua negara yang sudah lama berjiran boleh dielakkan menerusi meja rundingan.

- .....bahawa tindakan mengadakan demonstrasi serta melempar najis manusia itu satu perkara yang memalukan kerana Malaysia dan Indonesia adalah berjiran, selain itu satu bangsa dan majoritinya beragama Islam seperti Malaysia.

- Saya hairan mengapa berlaku seperti ini, sikit-sikit hendak mengadakan demonstrasi......Ini kerja yang memalukan terutama membabitkan sesama Islam.

- Ini bermakna kita (Islam) tidak boleh menjadi contoh kepada orang (agama) lain.

- Adik beradik sendiri bertengkar, sedangkan perkara ini kita boleh selesaikan melalui meja rundingan atau berbincang.

Itulah intipati luahan hati Nik Aziz kepada para wartawan selepas menyampaikan kuliah mingguan di Kota Bharu pada Jumaat 27 Ogos lalu.

Aku ketawa panjang selepas membaca dan mengetahui luahan hati 'ulama ternama' ini kerana apa yang diluahkannya tidak senada dengan apa yang dibuatnya selama ini. Buat apalah beliau bersusah payah memberi pandangan dan nasihat isu global begini sedangkan dalam isu-isu nasional sendiripun beliau 'keras hati' tidak mahu menggunakan meja rundingan. Bukankah isu kerjasama dengan Umno yang sesama Melayu dan sesama Islam beliau tolak mentah-mentah?

Tahu pula dia bahawa Indonesia dan Malaysia sesama serumpun bangsa dan sesama beragama Islam. Apakah Umno tidak Islam pada pandangan Nik Aziz? Kalau PAS Islam dan Umno Islam kenapa Nik Aziz tidak ingin langsung membuka pintu rundingan seperti yang diharap-harapkan banyak pihak yang di luar parti-parti politik?

KAHKAHKAHKAHKAHKAH!!!!

Cakap tidak serupa bikin.

Friday, August 27, 2010

KITA AKAN HILANG SEMUA

Ada sebuah cerita. Benar cerita ini. Kisah yang benar-benar berlaku di sebuah tempat bernama Padang Mahligai. Ia sebuah kampung tetapi aku kurang pasti letaknya di Kedah atau di Seberang Perai tetapi berhampiran Kepala Batas. Walau apapun, tempat itu tidak penting tetapi ceritanya yang paling penting untuk direnungkan.

Ada seorang tua tinggal sendirian di sebuah rumah yang agak besar. Dua tingkat rumah itu. Dia agak sunyi bersendirian sebab anaknya berkerja di Kuala Lumpur yang mustahil dapat tinggal bersamanya di kampung. Jadi untuk menghilangkan rasa sunyi, dia mempelawa sebuah keluarga yang kebetulan memerlukan tempat tinggal duduk bersamanya. Bersyukurlah anaknya dan saudara maranya kerana orang tua itu tidak sunyi lagi.

Suatu hari ketika menziarahinya, kami sekeluarga terperanjat apabila orang tua itu mengajak kami naik ke tingkat atas rumah itu, tidak seperti biasa hanya duduk berborak di bahagian dapur di tingkat bawah.

Dan dalam bicaranya yang amat perlahan kerana tidak mahu didengar orang, dia memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan lagi memasuki tingkat bawah rumahnya itu. Keluarga yang menumpang rumahnya tidak mengizinkan lagi dia menggunakan tingkat bawah rumahnya sebaliknya bahagian itu menjadi tempat kediaman mereka yang mutlak. Mulanya kami menyangka dia telah menjual rumah tersebut kepada keluarga itu tetapi tidak. Dia tidak menjualnya sebaliknya 'dirampas' oleh keluarga yang menumpang itu.

Sedikit demi sedikit dan hari demi hari, bahagian tingkat bawah telah menjadi 'hak' orang lain dan orang tua itu tidak berdaya berbuat apa-apa. Begitulah bila kita terlalu baik dengan orang.

Dan negara kita juga tidak mustahil akan menjadi demikian juga. Satu hari kita kehilangan hak kita kerana kita terlalu baik dan terlalu tulus. Sekarangpun kita sering biarkan orang lain berbuat sesuka hati mereka tanpa mengira sensitiviti kita. Sedikit demi sedikit hak kita diambil dan dirampas secara tidak kita sedari. Percayalah pada suatu hari nanti, nasib kita samalah seperti nasib orang tua tadi yang lama kelamaan kehilangan rumahnya sendiri.

Kita akan kehilangan tanah air kita sendiri!

Sunday, August 22, 2010

BILA MELAYU BOLEH BERCAKAP TENTANG MELAYU?

Datuk Ahmad Ismail dari Bukit Bendera telah merasainya, Datuk Ibrahim Ali dari Perkasa juga telah merasainya. bercakap sahaja tentang nasib Melayu, pasti dihentam cukup-cukup. Pihak-pihak tertentu menunggu masa sahaja bila orang Melayu akan bercakap mengenai Melayu. Bersuara sahaja kepentingan Melayu pasti mendapat layanan yang serupa iaitu dilanyak cukup-cukup dengan ‘rasis’.

Bangsa lain bercakap mengenai bangsa mereka, tak ada siapa betul-betul gaduh. Habis sangat nanti kita bincang.

Baru-baru ini Cikgu Siti dari Kulai pula yang kena. Secepat kilat Muhyiddin Yassin menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji kenyataan Cikgu Siti. Orang lupa beberapa hari sebelum itu Chua Soi Lek mempersoalkan kepentingan Melayu dan menyuarakan resolusi kaum Cina malah kesanggupan beliau senada dengan DAP dalam hal tersebut.

Ucapan Cikgu Siti digembar-gemburkan sehingga MCA Kedah yang jauh di utara mahu kerajaann ambil tindakan. Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO sendiri menyatakan rasa kesalnya dengan ucapan Cikgu Siti tetapi berdiam diri dengan ucapan Soi Lek.

Jadi bilalah Melayu boleh bercakap tentang nasib Melayu? Siapa yang hendak membela nasib Melayu yang bercakap mengenai Melayu>

Saturday, August 14, 2010

KASE: PEMBELA ORANG BERSALAH



Akta Pengangkutan Jalan 1987:

"Sesiapa yang memiliki notis kesalahan trafik yang belum dilunaskan, Cukai Jalan mereka tidak boleh diperbaharui sehingga bayaran dibuat."


Amat jelas akta tersebut. Sekali baca pun boleh difahami. Orang-orang yang tidak tahu bahasa sahaja yang tidak faham. Tetapi kenapa timbul masalah apabila ramai pesalah trafik disenarai-hitamkan semasa memperbaharui cukai jalan baru-baru ini. Sah dan nyata tindakan JPJ itu adalah betul mengikut akta yang telah diluluskan Parlimen yakni telah dibahaskan di Dewan Rakyat dan telah diperakui Dewan Negara.

Tiba-tiba muncul orang-orang yang mahu menjadi HERO. Lalu tertubuhlah 'KASE' ataupun Kempen Anti Saman Ekor dengan diketuai seorang Ahli Parlimen yang bersama-sama membahaskannya di parlimen sebelum diluluskan. Selain beliau, ramai lagi tokoh-tokoh yang mahu menumpang mencari publisiti, mahu jadi populer.

Yang peliknya trend membela pesalah semakin menjadi-jadi. Orang yang melakukan kesalahan dibela begitu rupa sedangkan orang yang menjalankan tugas menegakkan undang-undang dihina dan dibenci. Tidak ada orang membela mereka sedangkan mereka menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan.

Salahkah pihak polis mengenakan tindakan 'Saman Ekor' kepada pesalah trafik? Ada cara lainkah untuk mengajar pemandu-pemandu degil yang sentiasa mencemarkan keharmonian jalan raya kita? Bukan ramai pun yang degil memandu laju tetapi kerana yang sedikit inilah mengganggu perjalanan orang lain. Jika tidak mahu disaman, pandu mengikut had laju yang telah ditetapkan.

Pihak polis bukannya 'gila' tak tentu pasal menyaman orang. Jika berbuat salah, terima sajalah hakikat kita bersalah.

KASE usahlah hendak jadi hero. Itu semua bermotif politik bukan niat membela rakyat tetapi membela pesalah trafik. Patutkah seorang ahli parlimen membela pesalah? Jika orang berbuat salah sentiasa dibela sebagai hero, sampai bila pun kerja penguatkuasa undang-undang tidak akan selesai.
Sepatutnya sebagai Ahli parlimen yang menang dengan undi majoriti haruslah membela majoriti rakyat bukan golongan pesalah yang minoriti ini. Di negara kita semuanya terbalik.

Sunday, August 8, 2010

SAMAN EKOR: SALAHKAN DIRI SENDIRI

Isu saman ekor tidak ada kesudahanya. Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan sudah memuktamadkan bahawa tiada diskaun untuknya dan tidak ada pemansuhan tindakan saman tersebut. Bermakna proses menyaman jenis ini diteruskan walaupun ramai yang membantah.

Yang membantah pula bukanlah calang-calang orang. Pihak pembangkang sudah semestinya termasuk dalam kalangan ini sebab mereka tetap membangkang walaupun perkara yang baik kerana mereka PEMBANGKANG. Tetapi apabila kalangan pemerintah sendiri yang membantah, malah ada menteri juga tidak bersetuju, tentulah isu ini serius.

Tetapi golongan mana sebenarnya yang membantah?

Kita sorot sedikit permainan bolasepak. Piala Dunia baru saja berakhir. Berapa banyak kad kuning dan kad merah yang telah pengadil keluarkan? Banyaknya tidak terkira sehingga kad-kad amaran ini menjadi bahan jenaka.

Mudah sahaja memahaminya. Jika pemain tidak mahu dikenakan kad kuning ataupun merah, mainlah mengikut peraturan. ikut undang-undang permainan. Jika dalam peraturan tidak boleh menyentuh bola dengan tangan, jangan sentuh. Kalau sentuh juga akibatnya terimalah kad kuning atau merah.

Di jalanraya juga sama seperti di padang bola. Saman dikeluarkan untuk mereka yang memandu laju melebihi had yang ditetapkan. Kalau sudah laju, saman terpaksa dikeluarkan. Kalau tak mahu disaman, jangan pandu laju-laju. Ikut had laju yang sedia ada. Saya sendiri juga telah berapa kali kena saman jenis ini. Apa nak buat, saya yang salah. bayar sajalah walaupun saya tidak suka.

Bila memandu laju dan mendapat saman tidak kira saman ekor ataupun saman kepala, bayar sajalah. kalau tidak bayar tentulah disenaraihitamkan. Kita buat salah memandu laju, tiba-tiba hendak salahkan orang lain bila tindakan diambil. Kita patut salahkan diri sendiri kerana tidak dapat mengikut peraturan di jalanraya, bukan mencari salah orang lain.

Jadi pihak polis dan JPJ, teruskanlah niat anda menjaga kepentingan ramai di jalanraya. Bukan ramaipun yang memandu laju. Hanya segelintir sahaja. Tapi jika dibiarkan, kerana segelintir inilah jalanraya kita menjadi kubur tidak bertanda. Jangan dibiar segelintir ini menidakkan kepentingan ramai lagi pengguna jalanraya.

Cuma percepatkan sedikit proses penghantaran saman itu agar ia tidak 'bertapuk' terlalu banyak.

Selamat memandu!

Wednesday, August 4, 2010

MEMANG SUSAH BERBUAT SESUATU YANG TIDAK PERNAH DIBUAT ORANG

Susahnya untuk membuat sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat orang. Itulah yang paling sesuai diucapkan setiap kali kami melihat respon khalayak pada setiap langkah yang hendak dilaksanakan samada pemimpin ataupun kerajaan sendiri. kata orang mana bisa memuaskan hati semua orang tetapi memadailah dapat memuaskan hasrat kebanyakan orang.

Ada satu cerita yang kami kira dapat memberi satu impak kepada situasi ketika hendak melaksanakan sesuatu yang pada mulanya pelik tetapi lama kelamaan menjadi perkara biasa dan dapat diikuti ramai khalayak yang lain. Cerita ini berlaku disebuah sekolah menengah di utara tanahair.

Pada awal tahun amat sukar guru memilih atlit untuk mewakili sekolah tersebut kerana trlalu ramai yangberminat terutama dalam bidang permianan. Bolasepak yangmenjadi tumpuan utama. setiap petang terlalu ramai pelajar yang turunke padang melibatkan diri supaya guru nampak dan kemungkinan dipilih.

Akhirnya setelah berbincang dengan pengetua, keputusan dibuat bahawa sesiapa yang ingin menjadi atlit sekolah mestilah memotong rambut pendek dengan 'mesin no. 2'. Arahan ini dibuat dengan andaian tentu tidak ramai yang akan akur. Bayangkanlah apabila pelajar memotong rambut dengan syarat tersebut, serupa akademi tentera.

Jadi pelajar yang berminat akur juga dengan syarat tersebut dan akhirnya pasukan bolasepak sekolah tersebut dapat di tubuhkan dengan para pemain yang semuanya berambut pendek. Mereka yang tidak terpilih juga sudah pendek rambutnya dan bersekolah seperti biasa serta melibatkan diri dalam sukan yang lain. Akhirnya sekolah tersebut menjadi terkenal dengan para pelajar lelaki berambut ala tentera.

Lama kelamaan trend rambut pendek ini menjadi ikutan pelajar yang lain yang tidak terlibatr dengan sukan sekalipun. Dan akhirnya di tahun berikutnya, mana-mana pelajar lelaki yang datang mendaftar diri di sekolah tersebut tanpa disuruh lagi telah memotong rambut dengan mesin no. 2.

Apa yang boleh kita pelajari di sini ialah:

- Apapun yang baik jika hendak dilaksanakan, jangan tangguh dan jangan fikir sangat. Laksanakan dahulu dan akhirnya akan diterima orang.

- Sesuatu yang baru pada mulanya memang nampak ganjil, tetapi lama kelamaan akan menjadi ikutan dan diterima ramai sebagai perkara biasa.

- Bila hendakkan sesuatu yang diminati, orang akan berbuat apa sahaja walaupun melakukan perkara yang tidak digemarinya.

Jadi pihak kerajaan dan pihak berwajib, laksanakanlah apa sahaja program yang baik untuk rakyat. Jangan kira orang suka atau tidak kerana handak memuaskan hati semua orang memang tidak boleh tetapi memenuhi hasrat kebanyakan orang memang mampu dilakukan.

Jika hendak berbuat perubahan, lakukanlah asalkan dapat memberi kebaikan.