Wednesday, June 30, 2010

DAFTAR PEMILIH: TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Pengesahan pihak SPR seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa masih ada seramai 4.3 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali. Walaupun kita tahu ramai yang mengambil mudah hal ini, angka sebanyak itu amatlah menggerunkan. Lebih-lebih lagi majoritinya adalah dari rakyat berbangsa Melayu.

Hal ini disokong pula rumusan hasil kajian Biro Keahlian Dan Daftar Pemilih Pemuda Umno Malaysia, Encik Hishamudin Yahya yang meperlihatkan nisbah pemilih Melayu dan bukan Melayu amat ketara perbezaannya iaitu 1 berbanding 40.

Nisbah yang berbeza ini jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada kebenarannya pandangan sesetengah penganalisis bahawa satu ketika nanti kuasa politik kaum Melayu akan hilang sedikit demi sedikit. Sebaliknya kuasa politik dan teraju negara ini akan didominasi oleh kaum-kaum yang lain.

Ramai beranggapan patut menyalahkan parti-parti politik Melayu khasnya Umno tidak agresif membawa masuk pengundi-pengundi baru mendaftar sebagai pemilih sedangkan parti-parti lain terutama DAP begitu giat memainkan peranan mereka ke arah itu. Ini berbeza dengan parti-parti kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional yang ketinggalan berbanding dengan rakan mereka dalam PKR.

Namun di sebalik pendedahan tersebut, satu persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah siapa yang sepatutnya memainkan peranan mendaftar pemilih baru? Adakah ia menjadi tanggungjawab parti-parti politik atau tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya? Bukankah SPR yang sepatutnya memainkan peranan mereka menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pemilih?

Parti-parti politik hanyalah membantu dalam tugas-tugas suruhanjaya itu atas kapasiti menambah keahlian parti masing-masing. Bukanlah tugas hakiki parti politik untuk mencari, mempromosi dan mendaftar tetapi SPR yang sepatutnya berbuat demikian.

Sepatutnya SPR telah mengenalpasti sebarang kelemahan dalam sistem pendaftaran yang ada sekarang dan perlu dibuat penambahbaikan. Di era teknologi maklumat dan internet serta jalur lebar ini, pendekatan baru patutlah diambil oleh SPR bagi menjayakan proses mendaftar pemilih baru. Yakni tidak lagi seperti yang diamalkan sekarang yang didapati menyulitkan. Bukankah lebih mudah jika dapat mendaftar di rumah masing-masing daripada perlu pergi ke kaunter-kaunter dan mengisi boring tertentu?

Setakat ini promosi untuk tujuan tersebut amat minima. Sepanjang 2 tahun kebelakangan ini tidak terdengar langsung apa-apa promosi melalui akhbar dan juga media elektronik, khasnya televisyen. Yang nyata hanyalah kelihatan kaunter-kaunter pendaftaran di tempat-tempat tertentu. Bagaimana pula orang ramai yang langsung tidak berurusan dengan pejabat pos jika kaunter diletakkan di situ?

Barangkali tidak akan menjadi kesalahan jika SPR dapat menyediakan sedikit insentif kepada orang ramai yang datang mendaftar. Sediakan sedikit peruntukan dan berikan hadiah dan cenderamata kepada para pemilih yang berurusan dengan kaunter SPR. Rasanya dengan cara ini pasti hasrat menambah bilangan pemilih baru akan menjadi kenyataan.

Friday, June 25, 2010

MENTADBIR NEGARA MACAM MAIN MASAK-MASAK

1. Haruslah diingat bahawa mentadbir negara samalah seperti mentadbir sebuah keluarga. Dan mentadbir negara bukanlah sama macam kanak-kanak bemain 'masak-masak'. Dalam permainan masak-masak, macam-macam perkara pelik dan tidak disangka-sangka boleh terjadi.

2. Main 'masak-masak' seperti zaman kanak-kanak dulu bolehlah semuanya pakai tangkap muat saja siapa yang patut jadi 'suami' dan siapa yang dibuat sebagai 'isteri'. Duit pun pakai ambil daun-daun sahaja. Makan hanya olok-olok dalam pinggan tempurung yang dikutip di bawah pokok kelapa.

3. Ini negara, bukan main masak-masak lagi. Tadbirlah dengan betul. Tadbirlah elok-elok dan bukan boleh dibuat main-main atau hendak cuba-cuba. Mana boleh ikut sedap saja. Bertindak tidak boleh ikut hati.

4. Sesuatu yang hendak dibuat hendaklah dirancang terlebih dahulu, hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri dan pegawai. Bila sudah siap dan bersedia dengan sebarang kemungkinan protes dan bantahan, barulah diumumkan dan didedahkan kepada umum.

5. Dengan cara itu barulah rakyat tidak resah dan gelisah. Barulah rakyat tidak terkejut dan melabel kerajaan dengan berbagai bentuk. Kerisauan dan kemelut rakyat dapat dibendung dan ditangani dengan baik. barulah rakyat buat kesimpulan bahawa orang yang dipilih mentadbir negara itu adalah pilihan yang tepat.

6. Ini tidak. Dengan tiba-tiba sahaja terus umumkan sesuatu yang baru yang hendak dilaksanakan. Bangun saja dari tidur, terus memikirkan apa yang hendak diumumkan hari ini. Bila terus diumumkan begitu, rakyat terkejut. Lepas satu, satu pula isu ditimbulkan membuat rakyat terperanjat dan mengeluarkan pendapat yang berbagai-bagai.

7. Baru saja mengumumkan cadangan mewajibkan pembelajaran bahasa ibunda di semua sekolah kebangsaan yang menimbulkan macam-macam reaksi rakyat, Menteri Pelajaran umumkan pula tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR. Lagi sekali rakyat dipaksa memberi reaksi dan pendapat. Apa jenis menteri seperti ini, selalu bercakap perkara yang baru jadi cadangan semata-mata untuk meletak rakyat dalam keresahan dan pertikaian sesama sendiri.

8. Ini bukanlah kali pertama Kementerian Pelajaran buat hal macam ini. Sebulan yang lalu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Fuad Zarkashi mengumumkan perlunya dilaksanakan 'Lesen Guru' bagi membolehkan guru bertugas dengan cemerlang. Hal ini dinafikan pula oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. Sama-sama satu kementerian pun buat kenyataan yang tidak serupa.

9. Sebelum ini isu sekolah satu aliran bukan main lagi beria-ia diumumkan Tan Sri muhyiddin. Akhirnya isu itu tinggal terawang-awang tak ketahuan apa sudah terjadi. Rakyat ditinggalkan terpinga-pinga begitu sahaja.

10. Jadi adalah lebih baik jika ada apa-apa perkara yang hendak dilaksanakan, perbincangkanlah dulu di peringkat kementerian atau pegawai sebelum diumumkan kepada orang ramai. barulah ia dilihat sebagai satu tindakan yang bijak.

11. Ingatlah, anda mentadbir sebuah negara, bukan sebuah keluarga atau sedang 'main masak-masak'.

Tuesday, June 22, 2010

LAGAK SEPERTI NAIB PRESIDEN

Gayanya seperti seorang Naib Presiden.

Bila Datin Seri Rosmah dilantik menjadi Naib Presiden Umno? Beliau memang terkenal sekarang. Semenjak Datuk Seri najib memegang tampuk pemerintahan negara, hampir setiap hari pasti ada saja berita tentang Rosmah. Begitu penting setiap yang dilakukan Rosmah. Begitu mustahak setiap butir cakap dan ucapan Rosmah.

Mengalahkan menteri dan juga mereka yang berjawatan dalam kerajaan. Malah Timbalan Perdana Menteri sendiri tidak difokuskan sebegitu kerap sebagaimana Rosmah. Menteri-menteri lain lagilah tidak dibr ruang oleh pihak akhbar.

Semalam Rosmah bercakap lagi. Dalam satu majlis melancarkan 'Sluad Sayang' wanita Barisan Nasional yang sepatutnya dan lebih munasabah dibuat oleh Ketua Wanita BN beliau dengan lantang meminta skuad tersebut bertindak menangkis tohmaham parti pembangkang terhadap parti dan kerajaan. Alih-alih isteri Perdana Menteri yang tiada kaitan dengan kerajaan ataupun parti lebih 'menyibuk' dari menteri.

Kalau setakat melancarkan dan membantu meakaikan 'vest' kepada ahli-ahli skuad boleh diterima, tetapi bila kenyataannya meminta skuad tersebut bertindak menangkis tohmahan parti pembangkang, ia dilihat sudah 'sudah lebih camca dari bubur'. Barangkali beliau berucap bagi pihak Perdana Menteri.

Nanti bila ada pihak yang berkata Rosmah sebagai 'suami' Najib seperti baru-baru ini, jangan pula sesiapa melenting kerana Najib dilihat terlalu mengamalkan NKRA (Najib Kerja Rosmah Arah).

Sunday, June 20, 2010

BAHASA MELAYU DI NEGARA SENDIRI

1. Mula-mula menonton TV malam tadi ingatkan DS Najib merasmikan perhimpunan sebuah parti di luar negara. Terjerit-jerit beliau berucap. Bahasa Inggeris pula yang beliau gunakan, sebab itu tidak perasan ucapan itu dibuat di Malaysia.

2. Rupa-rupanya sedang merasmikan Perhimpunan PPP Kebangsaan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Agaknya ahli-ahli parti yang berjenama 'Melayu' itu tidak tahu berbahasa Melayuu, sebab itu bahasa Inggeris yang Najib gunakan. PPP itu bukankah singkatan Parti Progresif Penduduk?

3. Atau memang Najib suka berbahasa Inggeris kerana memang sedap dengar ucapan beliau. Bahasa Inggerisnya bukan main tinggi bunyinya, mengalahkan orang Inggeris sendiri. Ataupun memang sifat manusia bila berada di tampuk tertinggi negara mesti tunjuk kebolehan bercakap Inggeris.

4. Tapi tengok Perdana Menteri Thailand tetap juga bercakap bahasa Thai semasa menangani krisis 'Baju Merah' beberapa bulan yang lalu. Presiden Indonesia pun tetap berbahasa Indonesia. Agaknya di Malaysia saja mesti lebih sikit, mesti tunjuk kebolehan berbahasa Inggeris.

5. Yang peliknya orang yang mendengar itu adalah ahli parti PPP yang sudah pasti rakyat Malaysia. Takkan pula rakyat Mlaysia tidak faham bahasa Melayu sehingga mesti PM bercakap Inggeris? Atau kerana ada seorang dua pemerhati asing dalam perhimpunan itu? Ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku. Dua minggu lalu di Brickfield semasa perhimpunan bersama kaum India di situ, bahasa Inggeris juga digunakan oleh PM.

6. Begitulah nasib bahasa Melayu di negaranya sendiri. Begitulah bahasa Melayu di tangan pemimpin Melayu sendiri. Perdana Menteri sendiripun tidak gemar berbahasa Melayu. Pemimpin tertinggi pun rasa malu dan selalu meminggirkan bahasa Melayu. Apa lagi orang lain.

7. Sampai bilapun kaum bukan Melayu tidak akan menghormati bahasa kebangsaan itu jika kita yang Melayu ini sendiri malu menggunakannya. Jika kita masih mempunyai mentaliti bahawa orang bukan Melayu tidak faham bahasa itu, selagi itu bahasa Melayhu tidak dapat dimartabatkan. Sampai bilapun mereka tidak akan belajar berbahasa Melayu jika kita sering tidak mahu berbahasa Melayu dengan mereka.

8. Ayuhlah PM. Ayuhlah para menteri yang lain, sama-samalah kita martabatkan bahasa Melayu.

Wednesday, June 16, 2010

PELAJAR JADI BAHAN UJIKAJI

1. Apabila Menteri Pelajaran mengumumkan langkah mewajibkan para pelajar seawal sekolah rendah lagi mempelajari bahasa ibunda samada bahasa Tamil atau Cina, tergeleng-geleng kami dibuatnya. Demi memenuhi citarasa politik, sekali lagi kanak-kanak khasnya para pelajar akan dijadikan bahan ujikaji oleh Kementerian Pelajaran. Demi memenuhi desakan kaum-kaum bukan Melayu, untuk meraih undi tentunya, sekali lagi kerajaan memperjudikan masa depan pelajar-pelajar dengan satu lagi bebanan pembelajaran.

2. Jika dilihat dari aspek bahasa, usaha memperlekehkan kemartabatan bahasa melayu sangat jelas jika cadangan ini benar-benar diaplikasikan. Sesudah PPSMI dimansuhkan kerana kegagalannya, sekali lagi kerajaan mahu membuat percubaan mempersenda usaha memperkasakan bahasa Melayu.

3. Sedang pelajar terkapai-kapai memperkukuhkan diri mempelajari bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris, kita pula berusaha membebankan mereka dengan sekurang-kurangnya satu lagi bahasa yang kita maklum tidak akan tercapai matlamatnya di penghujung nanti. Ketika itu barulah kita mahu menarik balik seperti nasib PPSMI. Dunia akan tertawakan kita sekali lagi kerana kebodohan kita sendiri.

4. Jika alasan merealisasikan gagasan 1 Malaysia dijadikan fokus, bukan itu caranya. Konsep 1 Malaysia akan lebih berjaya dengan cemerlang jika semua kaum membuang sentimen masing-masing dengan hanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan. setiap kaum amat patut berusaha memperkasakan bahasa Melayu dan menjadikan tema '1Bahasa 1Malaysia'.

5. Kerajaan harus berusaha mengajak rakyat berbagai kaum memperkasakan penggunaan bahasa Melayu, bukan memperkenalkan semua bahasa kepada para pelajar. Itu semua adalah desakan politik semata-mata dan kerajaan akan berada di ambang bencana jika setiap desakan politik diambil sebagai satu pendekatan serius. Esok akan ada desakan yang lain pula yang bakal meletakkan kerajaan dalam dilema untuk menyahutnya.

6. Berusaha memperkasakan bahasa Melayu menjadi satu bahasa Malaysia adalah langkah paling baik dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia daripada memperbanyakkan bahasa. Berhati-hatilah dengan setiap tuntutan walaupun kita terdesak dalam meraih sokongan rakyat. Esok kita menjadi 'The 2nd Singapore' di rantau ini.

7. Yang akan rugi adalah anak cucu kita juga.

Sunday, June 13, 2010

NASIB KAMULAH BAHASA MELAYU!

1. Nasib kamulah Bahasa Melayu. Nasib kamulah bahasaku. Sesudah 53 tahun negara merdeka, bahasa itu menjadi musafir di negaranya sendiri. Siapa peduli? Perdana Menteri peduli? Timbalan Perdana Menteri peduli? Rakyat peduli? Siapapun tidak kisah dengan nasib bahasa Melayu kecuali beberapa orang yang masih mencintai bahasa kelima dunia dengan 250 juta penuturnya itu.
2. Perdana Menteri sendiri seperti tidak yakin dengan bahasa sendiri. Najib seperti tidak percaya mesejnya akan sampai kepada rakyat jika menggunakan bahasa Melayu. Di hadapan ribuan masyarakat India (tentunya rakyat Malaysia dan yang mengaku sebagai rakyat Malaysia) Najib memilih untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Agaknya masyarakat India tidak faham bahasa Melayu tetapi lebih faham bahasa Inggeris. Tahniahlah India kerana berjaya membonekakan seorang PM Melayu.
3. Rasanya jika mengambil aspek 'senang faham', lebih baik Najib menggunakan bahasa Tamil. Tentu mereka lebih faham dan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan mudah. Dengan bahasa Inggeris belum tentu semua faham mesej yang hendak disampaikan.
4. Akhirnya bahasa Melayu terpinggir begitu sahaja.
5. Muhyiddin Yasin, TPM juga 'tumpang semangkuk' memperlekehkan bahasa Melayu. Dalam ucapan di Konvensyen Persatuan Doktor Perubatan Malaysia, bahasa Inggeris juga yang beliau gunakan seolah-olah para doktor di Malaysia tidak tahu 'melayu'.
6. Sampai bila pun bahasa Melayu akan jadi 'melukut di tepi gantang' andainya para pemimpin sendiri berasa lekeh dan tidak yakin dengan penggunaannya. Jika para pemimpin berterusan memperlekehkan bahasa Melayu, selagi itu bahasa Melayu akan terpinggir di negaranya sendiri. Jika hendak meraih sokongan kaum India sekalipun, usahlah merendahkan martabat bahasa Melayu. Bukankah ia bahasa kebangsaan nyang sepatutnya sudah sebati dengan semua rakyat Malaysia?
7. Percayalah!

Friday, June 11, 2010

BETULKAH SOKONGAN MENINGKAT?

Betulkah sokongan terhadap kepemimpinan Najib selaku PM terus diterima dan semakin meningkat? Meningkat kepada 72% daripada 69% April lalu? Betulkah sokongan kaum India sebanyak 80 peratus, sokongan kaum Melayu menjadi 77 peratus dan dari kaum Cina 58 peratus? Boleh percaya pada laporan dan rumusan agensi kaji-selidik tersebut? Entah siapa yang menjadi responden mereka.

Beberapa persoalan perlu diteliti dalam isu tersebut. Dalam sembang-sembang di kedai kopi, kami tidak percaya pada semua peratusan yang diberi kerana sokongan yang dimaksudkan dilihat semakin menurun, bukan semakin naik. Akibat dari beberapa keputusan kerajaan akhir-akhir ini, dijangka sokongan Melayu dan Islam menurun dengan ketara, lebih-lebih lagi bila kerajaan bermain wayang dalam isu judi dan penarikan balik subsidi.

Nasib baik semua itu dibayangi kembali oleh isu Israel. Kutukan terbuka Najib terhadap serangan Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan Gaza sedikit menaikkan semula kredibiliti Najib. Isu besar ini menyelamatkan Najib.

Sokongan dari kaum lain tentulah semua orang sudah maklum. Hulu Selangor dan Sibu telah menceritakan segala-galanya. Peruntukan RM3 juta kepada sekolah Cina di Hulu Selangor tidak dapat menarik sokongan dari kaum tersebut. India memilih BN pun sebab calonnya dari kaum mereka.

Apa jadi dengan peruntukan RM18 juta kepada Sibu? Ternyata sia-sia dan Sibu terlepas kepada DAP. Kita sudah dapat menganalisa bagaimana sokongan kaum tersebut kepada kepemimpinan Najib daripada keputusan PRK tersebut.

Akhir-akhir ini pula MCA dan MIC dilanda masalah terus-menerus. Rakyat semakin benci dan meluat dengan krisis demi krisis dua parti tersebut manakala PPP masih juga dalam kemelut 'dua presiden'.

Jadi percayakah dengan kaji-selidik tersebut? Kenalah tahu siapa responden yang dijadikan asas kaji-selidik itu untuk menyatakan kebolehpercayaan kita. Mungkin peratusan yang diumumkan itu hanyalah gimik semata-mata untuk membuatkan Najib selesa 'di dalam buaian' . Dunia sekarang macam-macam boleh jadi.

Tuesday, June 8, 2010

LESEN JUDI: SIAPAKAH YANG BERMAIN WAYANG?

1. Pihak-pihak tertentu dalam kerajaan cuba bermain wayang dalam isu lesen judi sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung dua hari lagi. Tetapi siapakah yang bermain wayang? Dan kami rakyat di kedai-kedai kopi menonton wayang tersebut dalam perasaan yang bercampur-baur.

2. Apa tidak sangsinya permainan wayang tersebut, para pelakon utamanya bukan calang-calang orang. Bermula dengan Perdana Menteri sendiri, diikuti para menteri dan timbalan-timbalan menterinya

3. Bermula dengan Datuk Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan pada 7 Mei 2010 terlepas cakap tentang kemungkinan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan sempenan pertandingan empat tahun sekali itu demi membendung masalah wujudnya banyak sendiket pertaruhan haram.

4. Kemudian pada 12 Mei 2010, Datuk Chor Chee Heung, seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa lesen tersebut bukanlah lesen yang baru diluluskan tetapi pemberian semula lesen yang lama kepada yang empunyanya.

5. Kemudian pada 5 jun 2010, Tan Sri Vincent Tan, yang empunya lesen judi itu mengumumkan pemberian semua RM525 juta keuntungan dari pertaruhan judi itu (yang kononnya disensasikan oleh banyak pihak) kepada badan-badan kebajikan di negara ini tanpa memikirkan bagaimana rakyat hendak buat kebajikan dengan wang haram.

6. Paling akhir, semalam, pada 7 Jun 2010, Datuk Seri Najib mengumumkan pula bahawa kerajaan belum memuktamadkan kelulusan lesen perjudian itu dan masih menanti maklumbalas dari semua pihak.

7. Jadi siapakah yang bermain wayang?

8. Hari ini pula dengan penuh bodohnya Datuk Seri Hishamuddin pula mendesak pihak-pihak yang mempertikaikan kelulusan lesen perjudian itu memberi syor bagaimana hendak membanteras perjudian haram. Bagaimana seorang yang dipilih menjadi Wakil Rakyat kemudian berada dalam barisan menteri kanan, menjadi bodoh tidak tahu hendak menangani masalah tersebut? Barangkali, sesudah puas memberi amaran dalam isu-isu terdahulu, beliau juga ingin bermain wayang?

9. Apa susahnya. Pertingkatkan penguatkuasaan, tambahkan kakitangan dan kenakan hukuman yang lebih berat. Atau beri ‘amaran’ sekeras-kerasnya kepada penggemar judi haram.

10. Demikianlah yang kami nampak semasa bersembang-sembang di kedai kopi pagi ini.

Sunday, June 6, 2010

NKRA: NAJIB KERJA ROSMAH ARAH?

1. Hari ini kami sembang mengenai satu laman blog yang di akhirnya ada satu komen yang ditutup dengan singkatan yang tersebut di atas. Tergamak penulis komen tersebut menterjemah NKRA yang dipopulerkan Perdana Menteri seperti itu. Sampai hati!

2. Tetapi bila difikir-fikirkan, ada juga tempias kebenarannya seperti apa yang diucapkan. Lihat saja kebelakangan ini, dari tindakan dan cakap-cakap Rosmah sama ada di dalam negara atau di luar negara, nadanya seperti beliau yang membuat keputusan, Najib hanya melaksanakan.

3. Belum pernah isteri Perdana Menteri yang seaktif Rosmah. Belum pernah isteri Perdana Menteri terdahulu mendapat liputan meluas sebagaimana Rosmah. Populernya dalam media melebihi Perdana Menteri sendiri. Apatah lagi jika dibanding dengan menteri-menteri yang lain, tentu tidak sebaris lagi dengan wanita nombor satu negara ini. Mengalahkan selebriti pula.
4. Banyak cakap-cakap Rosmah seolah-olah beliau salah seorang menteri dalam kabinet Najib.
Sewaktu melawat Amerika sedikit waktu lalu, beliau bercakap tentang mahu menubuhkan sekolah khas bagi kanak-kanak pintar. Rasa macam Menteri Pelajaran pula yang bercakap.
5. Ketika pertandingan badminton Piala Thomas dan Piala Uber, beliau berjanji akan memberi insentif kepada para pemain andainya salah satu piala itu kekal di Malysia. Malah beliau menyatakan akan berbincang dengan Perdana Menteri tentang insentif itu. Macam Menteri Belia dan Sukan pula masa itu.
6. Dan semasa di Laos baru-baru ini, Rosmah mempelawa Laos juga turut serta dengan beliau dalam promosi kanak-kanak Permata. macam Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pula yang bercakap.
7. Isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini tidaklah banyak bercakap sangat selain memperlihatkan sifat keibuan dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Itupun secara sederhana, tidak menonjolkan diri berlebihan dari suami masing-masing.
8. Perkara ini harus disedari dan diberi perhatian oleh Najib sekiranya mahu tetap dihormati. Nanti orang hilang rasa hormat dan keluarlah 'NKRA' tadi (Najib Kerja Rosmah Arah). banyak contoh telah kita ketahui, wanita berdaya membunuh kerjaya lelaki. Cerita 'Samson dan Delailah' adalah contoh terbaik.
9. Jadi Najib haruslah melihat NKRA beliau dalam perkara ini.

Friday, June 4, 2010

DR SULEIMAN SUDAH LAKUKAN, YANG LAIN BILA PULA?

Apabila Datuk Seri Drs Suleiman mohamad melepaskann jawatan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, beberapa tokoh politik yang lain memberi pandangan yang dirangkumi sebagai senada sahaja. Semua memuji sikap terbuka dan kecintaan beliau kepada parti melebihi kepentingan peribadi. Kalau orang lain tentulah susahn hendak berbuat demikian tambahan lagi kuasa sedang berada di dalam tangan, sudah tentu sayang mahu melepaskannya.

Menurut para pemimpin ini, keikhlasan Drs Suleiman patut dicontohi. Siapa yang patut mencontohi sikap dan tindakan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa itu?

Berani Mohd Ali Rustam melakukannya? Jangan bercakap sahaja tetapi buktikan. Anda juga lebih kurang seusia Drs Suleiman juga. Kata Ali Rustam, Drs Suleiman mempunyai semangat BN dan Umno yang tinggi.

Hishamuddin boleh lakukan? Cuba beranikan diri berbuat dermikian daripada sentiasa memberi amaran sahaja sehinga dalam banyak media dikatakan sebagai Menteri Amaran.

Sdr Ahmad Bashah dari Kedah juga tumpang semangkuk memberi komen. Anda berani mengambil rindakan serupa? Tentulah berkata untuk sedap mulut sahaja. Cuba letak jawatn seperti Drs Suleiman. Berani?

Jaqdi lebih baik jangan komen jika tidak berani. Lebih baik diam sahaja macam Ketua-ketua Bahagian yang lain yang sebahagiannya telah melangkaui usia Drs. Suleiman yang dipuji-puji itu.

Ramai-ramailah letak jawatan, beri peluang kepada generasi muda.

Anda bila lagi?