Wednesday, July 14, 2010

BETULKAH UMNO PEMBELA BAHASA MELAYU?

Ketika merasmikan persidangan Umno Bahagian Kota Tinggi, Johor, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan bangga mengumumkan bahawa selama ini dan selamanya Umno menjadi pembela bahasa Melayu di negara ini. Tegas beliau, Umno adalah parti yang selama ini berjuang memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya termaktub dalam perlembagaan negara.

Kenyataan yang dibuat ini amat disambut baik tambah-tambah lagi apa yang dinyatakan itu benar-benar datang dari aspirasi parti Melayu terbesar di negara ini, yang pula sedang memegang mercu pemerintahan negara.

Tetapi apa yang disangsikan, hanya beliau sahaja yang beria-ia berkata demikian. Hanya Datuk Seri Rais sahaja yang kita lihat mempunyai komitmen kea rah tersebut sedangkan para menteri Umno yang lain tidak berbuat demikian.

Alangkah baiknya jika apa yang dikatakan Dr Rais itu benar-benar terjadi.Malah alangkah baiknyan jika para menteri dan para pemimpin Umno yang lain mempunyai komitmen sebagaimana beliau, nescaya bahasa Melayu tidak menjadi seperti sekarang, menjadi bahasa yang caca-merba.

Banyak bukti-bukti yang jika ditulis, nescaya tidak dapat dinafikan para pemimpin negara dari Umno sendiri lebih mengutamakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Dalam beberapa majlis rasmi yang dihadiri khalayak rakyat Malaysia sendiripun, para pemimpin ini tidak mahu berbahasa Melayu. Telah banyak kali perkara ini dibangkitkan tetapi apabila menyentuh para pemimpin tertinggi, apa yang diperkatakan jadi ‘seperti anjing menyalak bukit’.

Ada pemimpin, tentunya tokoh Umno, pada sebelah pagi berucap merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan, berapi-api menyatakan komitmen kerajaan memartabatkan bahasa Melayu, pada sebelah malamnya menyampaikan pula ucapan dalam majlis yang lain dengan bahasa Inggeris sedangkan yang hadir adalah rakyat Malaysia sendiri.

Dalam perjumpaan dengan rakan-rakan ‘facebook’ semasa satu acara minum petang, pemimpin Melayu menggunakan bahasa Inggeris semasa berinteraksi dengan para ‘sahabat’ facebooknya, sedangkan ‘sahabat-sahabat', itu adalah rakyat Malaysia belaka.

Banyak lagi contoh-contoh yang dapat diberikan tetapi hanyalah seperti ‘mencurah air di daun keladi’ dan suara kami hanyalah ‘seperti anjing menyalak bukit’.

Jadi Dr Rais usahlah uat jenaka yang seperti itu. Orang dapat membaca dan melihat apa yang berlaku selama ini. Macam mana dikatakan Umno pembela bahasa Melayu jika para pemimpin Umno sendiri tidak yakin dengan bahasa itu? Perkataan ‘pembela’ itu tidak sesuai digunakan dalam konteks ini. Nanti kata orang, jadi seperti ayam, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

No comments: