Monday, July 26, 2010

DAP DAN PKR SUDAH TUKAR KEPADA DASAR ISLAM?

1. Kami petik kata-kata Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. Kata-kata ini dipetik dari Sinar Harian Edisi Utara dua hari yang lepas:

"Kita tetap dengan dasar yang sama dan tidak akan mengubahnya.
Kalau mereka mahukan kerjasama terlaksana segera,
pertimbangkan dan ubah dasar dengan segera".

2. Fahamlah kami bahawa kata-kata penuh makna ini ditujukan kepada Umno kerana bagi PAS mereka tidak boleh menjalin kerjasama dengan Umno kerana dasar Umno tidak berlandaskan Islam dan Umno tidak Islamik.

3. Kami juga faham maksud kata-kata itu, jika Umno mahu menjalin kerjasama dalam masa terdekat iaitu kerjasama dalam masa yang segera, parti itu hendaklah ubah dasar perjuangannya iaitu kepada perjuangan Islam seperti perjuangan PAS. Maknanya jika tidak berjuang atas prinsip Islam, PAS tidak ingin mengadakan kerjasama yang dicadangkan malah hendak berbincang pun tidak mahu.

4. Amat tegas dan bagus sekali pendirian PAS, benar-benar mmpunyai roh Islam dan mahu 'berkawan' atau berjuang bersama-sama parti yang memperjuangkan dasar Islam sahaja. Kalau tidak berteraskan perjuangan agama Islam, PAS minta maaf, tidak dapat menjadi sahabat dan tidak dapat bersatu dalam perjuangan.

5. DAP yang menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat telah mengubah dasar perjuangannya kepada dasar Islam. Ini kita ketahui apabila Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang mengambil seorang tokoh Islam sebagai idolanya. PAS seronok dan memuja dan memuji Lim Guan Eng kerana mencontohi Khalifah Umar Abd Aziz.

6. Lim Kit Siang pun tidak lagi menyerang PAS dalam setiap ucapannya malah biasa berpelukan dan berdakapan dengan Haji Hadi dan juga Nik Abdul Aziz. Malah Karpal Singh pun mungkin telah melupakan kata-katanya 'langkah mayat saya dulu kalau hendak menubuhkan negara Islam'.

7. Parti Keadilan Rakyat juga sama seperti DAP, telah mengubah dasar perjuangannya kepada Islam. Malah ada antara pemimpinnya dari kaum Cina dan India telah boleh membaca ayat-ayat Quran dalam ceramah-ceramah dan siap dengan pengertiannya sendiri. Malah ada pemimpin bukan Islam dibawa masuk berceramah di dalam masjid.

8. Jadi jika Umno berhasrat menjalin kerjasama dengan PAS, Umno harus mengubah dasarnya. Tapi yang musykilnya nak ubah jadi apa? Apakah yang diperjuangkan Umno sekarang bukan ke arah perjuangan Islam? Yang kami tahu orang-orang Umno juga Melayu dan Islam. Malah bersama-sama dengan orang-orang PAS bersembahyang di masjid yang sama dan berimamkan imam yang sama.

9. Inilah yang mengelirukan dari kenyataan Dr Haron Din itu. Apakah maksudnya DAP dan PKR itu lebih Islam dari Islamnya Umno?


No comments: