Saturday, August 14, 2010

KASE: PEMBELA ORANG BERSALAH



Akta Pengangkutan Jalan 1987:

"Sesiapa yang memiliki notis kesalahan trafik yang belum dilunaskan, Cukai Jalan mereka tidak boleh diperbaharui sehingga bayaran dibuat."


Amat jelas akta tersebut. Sekali baca pun boleh difahami. Orang-orang yang tidak tahu bahasa sahaja yang tidak faham. Tetapi kenapa timbul masalah apabila ramai pesalah trafik disenarai-hitamkan semasa memperbaharui cukai jalan baru-baru ini. Sah dan nyata tindakan JPJ itu adalah betul mengikut akta yang telah diluluskan Parlimen yakni telah dibahaskan di Dewan Rakyat dan telah diperakui Dewan Negara.

Tiba-tiba muncul orang-orang yang mahu menjadi HERO. Lalu tertubuhlah 'KASE' ataupun Kempen Anti Saman Ekor dengan diketuai seorang Ahli Parlimen yang bersama-sama membahaskannya di parlimen sebelum diluluskan. Selain beliau, ramai lagi tokoh-tokoh yang mahu menumpang mencari publisiti, mahu jadi populer.

Yang peliknya trend membela pesalah semakin menjadi-jadi. Orang yang melakukan kesalahan dibela begitu rupa sedangkan orang yang menjalankan tugas menegakkan undang-undang dihina dan dibenci. Tidak ada orang membela mereka sedangkan mereka menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan.

Salahkah pihak polis mengenakan tindakan 'Saman Ekor' kepada pesalah trafik? Ada cara lainkah untuk mengajar pemandu-pemandu degil yang sentiasa mencemarkan keharmonian jalan raya kita? Bukan ramai pun yang degil memandu laju tetapi kerana yang sedikit inilah mengganggu perjalanan orang lain. Jika tidak mahu disaman, pandu mengikut had laju yang telah ditetapkan.

Pihak polis bukannya 'gila' tak tentu pasal menyaman orang. Jika berbuat salah, terima sajalah hakikat kita bersalah.

KASE usahlah hendak jadi hero. Itu semua bermotif politik bukan niat membela rakyat tetapi membela pesalah trafik. Patutkah seorang ahli parlimen membela pesalah? Jika orang berbuat salah sentiasa dibela sebagai hero, sampai bila pun kerja penguatkuasa undang-undang tidak akan selesai.
Sepatutnya sebagai Ahli parlimen yang menang dengan undi majoriti haruslah membela majoriti rakyat bukan golongan pesalah yang minoriti ini. Di negara kita semuanya terbalik.

No comments: