Sunday, August 8, 2010

SAMAN EKOR: SALAHKAN DIRI SENDIRI

Isu saman ekor tidak ada kesudahanya. Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan sudah memuktamadkan bahawa tiada diskaun untuknya dan tidak ada pemansuhan tindakan saman tersebut. Bermakna proses menyaman jenis ini diteruskan walaupun ramai yang membantah.

Yang membantah pula bukanlah calang-calang orang. Pihak pembangkang sudah semestinya termasuk dalam kalangan ini sebab mereka tetap membangkang walaupun perkara yang baik kerana mereka PEMBANGKANG. Tetapi apabila kalangan pemerintah sendiri yang membantah, malah ada menteri juga tidak bersetuju, tentulah isu ini serius.

Tetapi golongan mana sebenarnya yang membantah?

Kita sorot sedikit permainan bolasepak. Piala Dunia baru saja berakhir. Berapa banyak kad kuning dan kad merah yang telah pengadil keluarkan? Banyaknya tidak terkira sehingga kad-kad amaran ini menjadi bahan jenaka.

Mudah sahaja memahaminya. Jika pemain tidak mahu dikenakan kad kuning ataupun merah, mainlah mengikut peraturan. ikut undang-undang permainan. Jika dalam peraturan tidak boleh menyentuh bola dengan tangan, jangan sentuh. Kalau sentuh juga akibatnya terimalah kad kuning atau merah.

Di jalanraya juga sama seperti di padang bola. Saman dikeluarkan untuk mereka yang memandu laju melebihi had yang ditetapkan. Kalau sudah laju, saman terpaksa dikeluarkan. Kalau tak mahu disaman, jangan pandu laju-laju. Ikut had laju yang sedia ada. Saya sendiri juga telah berapa kali kena saman jenis ini. Apa nak buat, saya yang salah. bayar sajalah walaupun saya tidak suka.

Bila memandu laju dan mendapat saman tidak kira saman ekor ataupun saman kepala, bayar sajalah. kalau tidak bayar tentulah disenaraihitamkan. Kita buat salah memandu laju, tiba-tiba hendak salahkan orang lain bila tindakan diambil. Kita patut salahkan diri sendiri kerana tidak dapat mengikut peraturan di jalanraya, bukan mencari salah orang lain.

Jadi pihak polis dan JPJ, teruskanlah niat anda menjaga kepentingan ramai di jalanraya. Bukan ramaipun yang memandu laju. Hanya segelintir sahaja. Tapi jika dibiarkan, kerana segelintir inilah jalanraya kita menjadi kubur tidak bertanda. Jangan dibiar segelintir ini menidakkan kepentingan ramai lagi pengguna jalanraya.

Cuma percepatkan sedikit proses penghantaran saman itu agar ia tidak 'bertapuk' terlalu banyak.

Selamat memandu!

No comments: