Friday, August 27, 2010

KITA AKAN HILANG SEMUA

Ada sebuah cerita. Benar cerita ini. Kisah yang benar-benar berlaku di sebuah tempat bernama Padang Mahligai. Ia sebuah kampung tetapi aku kurang pasti letaknya di Kedah atau di Seberang Perai tetapi berhampiran Kepala Batas. Walau apapun, tempat itu tidak penting tetapi ceritanya yang paling penting untuk direnungkan.

Ada seorang tua tinggal sendirian di sebuah rumah yang agak besar. Dua tingkat rumah itu. Dia agak sunyi bersendirian sebab anaknya berkerja di Kuala Lumpur yang mustahil dapat tinggal bersamanya di kampung. Jadi untuk menghilangkan rasa sunyi, dia mempelawa sebuah keluarga yang kebetulan memerlukan tempat tinggal duduk bersamanya. Bersyukurlah anaknya dan saudara maranya kerana orang tua itu tidak sunyi lagi.

Suatu hari ketika menziarahinya, kami sekeluarga terperanjat apabila orang tua itu mengajak kami naik ke tingkat atas rumah itu, tidak seperti biasa hanya duduk berborak di bahagian dapur di tingkat bawah.

Dan dalam bicaranya yang amat perlahan kerana tidak mahu didengar orang, dia memberitahu bahawa dia tidak dibenarkan lagi memasuki tingkat bawah rumahnya itu. Keluarga yang menumpang rumahnya tidak mengizinkan lagi dia menggunakan tingkat bawah rumahnya sebaliknya bahagian itu menjadi tempat kediaman mereka yang mutlak. Mulanya kami menyangka dia telah menjual rumah tersebut kepada keluarga itu tetapi tidak. Dia tidak menjualnya sebaliknya 'dirampas' oleh keluarga yang menumpang itu.

Sedikit demi sedikit dan hari demi hari, bahagian tingkat bawah telah menjadi 'hak' orang lain dan orang tua itu tidak berdaya berbuat apa-apa. Begitulah bila kita terlalu baik dengan orang.

Dan negara kita juga tidak mustahil akan menjadi demikian juga. Satu hari kita kehilangan hak kita kerana kita terlalu baik dan terlalu tulus. Sekarangpun kita sering biarkan orang lain berbuat sesuka hati mereka tanpa mengira sensitiviti kita. Sedikit demi sedikit hak kita diambil dan dirampas secara tidak kita sedari. Percayalah pada suatu hari nanti, nasib kita samalah seperti nasib orang tua tadi yang lama kelamaan kehilangan rumahnya sendiri.

Kita akan kehilangan tanah air kita sendiri!

1 comment:

paneh said...

Nasib waris Melayu masa depan mungkin akan terjadi sebagaimana yg tuan ramalkan berdasarkan cerita tuan ini. Alangkah sedihnya...