Tuesday, June 8, 2010

LESEN JUDI: SIAPAKAH YANG BERMAIN WAYANG?

1. Pihak-pihak tertentu dalam kerajaan cuba bermain wayang dalam isu lesen judi sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung dua hari lagi. Tetapi siapakah yang bermain wayang? Dan kami rakyat di kedai-kedai kopi menonton wayang tersebut dalam perasaan yang bercampur-baur.

2. Apa tidak sangsinya permainan wayang tersebut, para pelakon utamanya bukan calang-calang orang. Bermula dengan Perdana Menteri sendiri, diikuti para menteri dan timbalan-timbalan menterinya

3. Bermula dengan Datuk Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan pada 7 Mei 2010 terlepas cakap tentang kemungkinan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan sempenan pertandingan empat tahun sekali itu demi membendung masalah wujudnya banyak sendiket pertaruhan haram.

4. Kemudian pada 12 Mei 2010, Datuk Chor Chee Heung, seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa lesen tersebut bukanlah lesen yang baru diluluskan tetapi pemberian semula lesen yang lama kepada yang empunyanya.

5. Kemudian pada 5 jun 2010, Tan Sri Vincent Tan, yang empunya lesen judi itu mengumumkan pemberian semua RM525 juta keuntungan dari pertaruhan judi itu (yang kononnya disensasikan oleh banyak pihak) kepada badan-badan kebajikan di negara ini tanpa memikirkan bagaimana rakyat hendak buat kebajikan dengan wang haram.

6. Paling akhir, semalam, pada 7 Jun 2010, Datuk Seri Najib mengumumkan pula bahawa kerajaan belum memuktamadkan kelulusan lesen perjudian itu dan masih menanti maklumbalas dari semua pihak.

7. Jadi siapakah yang bermain wayang?

8. Hari ini pula dengan penuh bodohnya Datuk Seri Hishamuddin pula mendesak pihak-pihak yang mempertikaikan kelulusan lesen perjudian itu memberi syor bagaimana hendak membanteras perjudian haram. Bagaimana seorang yang dipilih menjadi Wakil Rakyat kemudian berada dalam barisan menteri kanan, menjadi bodoh tidak tahu hendak menangani masalah tersebut? Barangkali, sesudah puas memberi amaran dalam isu-isu terdahulu, beliau juga ingin bermain wayang?

9. Apa susahnya. Pertingkatkan penguatkuasaan, tambahkan kakitangan dan kenakan hukuman yang lebih berat. Atau beri ‘amaran’ sekeras-kerasnya kepada penggemar judi haram.

10. Demikianlah yang kami nampak semasa bersembang-sembang di kedai kopi pagi ini.

No comments: