Wednesday, June 16, 2010

PELAJAR JADI BAHAN UJIKAJI

1. Apabila Menteri Pelajaran mengumumkan langkah mewajibkan para pelajar seawal sekolah rendah lagi mempelajari bahasa ibunda samada bahasa Tamil atau Cina, tergeleng-geleng kami dibuatnya. Demi memenuhi citarasa politik, sekali lagi kanak-kanak khasnya para pelajar akan dijadikan bahan ujikaji oleh Kementerian Pelajaran. Demi memenuhi desakan kaum-kaum bukan Melayu, untuk meraih undi tentunya, sekali lagi kerajaan memperjudikan masa depan pelajar-pelajar dengan satu lagi bebanan pembelajaran.

2. Jika dilihat dari aspek bahasa, usaha memperlekehkan kemartabatan bahasa melayu sangat jelas jika cadangan ini benar-benar diaplikasikan. Sesudah PPSMI dimansuhkan kerana kegagalannya, sekali lagi kerajaan mahu membuat percubaan mempersenda usaha memperkasakan bahasa Melayu.

3. Sedang pelajar terkapai-kapai memperkukuhkan diri mempelajari bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris, kita pula berusaha membebankan mereka dengan sekurang-kurangnya satu lagi bahasa yang kita maklum tidak akan tercapai matlamatnya di penghujung nanti. Ketika itu barulah kita mahu menarik balik seperti nasib PPSMI. Dunia akan tertawakan kita sekali lagi kerana kebodohan kita sendiri.

4. Jika alasan merealisasikan gagasan 1 Malaysia dijadikan fokus, bukan itu caranya. Konsep 1 Malaysia akan lebih berjaya dengan cemerlang jika semua kaum membuang sentimen masing-masing dengan hanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan. setiap kaum amat patut berusaha memperkasakan bahasa Melayu dan menjadikan tema '1Bahasa 1Malaysia'.

5. Kerajaan harus berusaha mengajak rakyat berbagai kaum memperkasakan penggunaan bahasa Melayu, bukan memperkenalkan semua bahasa kepada para pelajar. Itu semua adalah desakan politik semata-mata dan kerajaan akan berada di ambang bencana jika setiap desakan politik diambil sebagai satu pendekatan serius. Esok akan ada desakan yang lain pula yang bakal meletakkan kerajaan dalam dilema untuk menyahutnya.

6. Berusaha memperkasakan bahasa Melayu menjadi satu bahasa Malaysia adalah langkah paling baik dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia daripada memperbanyakkan bahasa. Berhati-hatilah dengan setiap tuntutan walaupun kita terdesak dalam meraih sokongan rakyat. Esok kita menjadi 'The 2nd Singapore' di rantau ini.

7. Yang akan rugi adalah anak cucu kita juga.

No comments: