Sunday, June 13, 2010

NASIB KAMULAH BAHASA MELAYU!

1. Nasib kamulah Bahasa Melayu. Nasib kamulah bahasaku. Sesudah 53 tahun negara merdeka, bahasa itu menjadi musafir di negaranya sendiri. Siapa peduli? Perdana Menteri peduli? Timbalan Perdana Menteri peduli? Rakyat peduli? Siapapun tidak kisah dengan nasib bahasa Melayu kecuali beberapa orang yang masih mencintai bahasa kelima dunia dengan 250 juta penuturnya itu.
2. Perdana Menteri sendiri seperti tidak yakin dengan bahasa sendiri. Najib seperti tidak percaya mesejnya akan sampai kepada rakyat jika menggunakan bahasa Melayu. Di hadapan ribuan masyarakat India (tentunya rakyat Malaysia dan yang mengaku sebagai rakyat Malaysia) Najib memilih untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Agaknya masyarakat India tidak faham bahasa Melayu tetapi lebih faham bahasa Inggeris. Tahniahlah India kerana berjaya membonekakan seorang PM Melayu.
3. Rasanya jika mengambil aspek 'senang faham', lebih baik Najib menggunakan bahasa Tamil. Tentu mereka lebih faham dan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan mudah. Dengan bahasa Inggeris belum tentu semua faham mesej yang hendak disampaikan.
4. Akhirnya bahasa Melayu terpinggir begitu sahaja.
5. Muhyiddin Yasin, TPM juga 'tumpang semangkuk' memperlekehkan bahasa Melayu. Dalam ucapan di Konvensyen Persatuan Doktor Perubatan Malaysia, bahasa Inggeris juga yang beliau gunakan seolah-olah para doktor di Malaysia tidak tahu 'melayu'.
6. Sampai bila pun bahasa Melayu akan jadi 'melukut di tepi gantang' andainya para pemimpin sendiri berasa lekeh dan tidak yakin dengan penggunaannya. Jika para pemimpin berterusan memperlekehkan bahasa Melayu, selagi itu bahasa Melayu akan terpinggir di negaranya sendiri. Jika hendak meraih sokongan kaum India sekalipun, usahlah merendahkan martabat bahasa Melayu. Bukankah ia bahasa kebangsaan nyang sepatutnya sudah sebati dengan semua rakyat Malaysia?
7. Percayalah!

No comments: