Sunday, June 20, 2010

BAHASA MELAYU DI NEGARA SENDIRI

1. Mula-mula menonton TV malam tadi ingatkan DS Najib merasmikan perhimpunan sebuah parti di luar negara. Terjerit-jerit beliau berucap. Bahasa Inggeris pula yang beliau gunakan, sebab itu tidak perasan ucapan itu dibuat di Malaysia.

2. Rupa-rupanya sedang merasmikan Perhimpunan PPP Kebangsaan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Agaknya ahli-ahli parti yang berjenama 'Melayu' itu tidak tahu berbahasa Melayuu, sebab itu bahasa Inggeris yang Najib gunakan. PPP itu bukankah singkatan Parti Progresif Penduduk?

3. Atau memang Najib suka berbahasa Inggeris kerana memang sedap dengar ucapan beliau. Bahasa Inggerisnya bukan main tinggi bunyinya, mengalahkan orang Inggeris sendiri. Ataupun memang sifat manusia bila berada di tampuk tertinggi negara mesti tunjuk kebolehan bercakap Inggeris.

4. Tapi tengok Perdana Menteri Thailand tetap juga bercakap bahasa Thai semasa menangani krisis 'Baju Merah' beberapa bulan yang lalu. Presiden Indonesia pun tetap berbahasa Indonesia. Agaknya di Malaysia saja mesti lebih sikit, mesti tunjuk kebolehan berbahasa Inggeris.

5. Yang peliknya orang yang mendengar itu adalah ahli parti PPP yang sudah pasti rakyat Malaysia. Takkan pula rakyat Mlaysia tidak faham bahasa Melayu sehingga mesti PM bercakap Inggeris? Atau kerana ada seorang dua pemerhati asing dalam perhimpunan itu? Ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku. Dua minggu lalu di Brickfield semasa perhimpunan bersama kaum India di situ, bahasa Inggeris juga digunakan oleh PM.

6. Begitulah nasib bahasa Melayu di negaranya sendiri. Begitulah bahasa Melayu di tangan pemimpin Melayu sendiri. Perdana Menteri sendiripun tidak gemar berbahasa Melayu. Pemimpin tertinggi pun rasa malu dan selalu meminggirkan bahasa Melayu. Apa lagi orang lain.

7. Sampai bilapun kaum bukan Melayu tidak akan menghormati bahasa kebangsaan itu jika kita yang Melayu ini sendiri malu menggunakannya. Jika kita masih mempunyai mentaliti bahawa orang bukan Melayu tidak faham bahasa itu, selagi itu bahasa Melayhu tidak dapat dimartabatkan. Sampai bilapun mereka tidak akan belajar berbahasa Melayu jika kita sering tidak mahu berbahasa Melayu dengan mereka.

8. Ayuhlah PM. Ayuhlah para menteri yang lain, sama-samalah kita martabatkan bahasa Melayu.

No comments: